Tuesday, June 21, 2016

KERJA LAPANGAN FRGS

Al-Hamdulillah, temubual untuk responden kajian kemiskinan dapat diselesaikan. Temubual responden pertama bermula jam 10.40 malam. Untuk responden kedua pula bermula jam 11.40 malam.

Temubual terpaksa dibuat waktu malam kerana kedua-dua responden ada urusan hal perniagaan masing-masing pada waktu siang hari.

Yang menariknya ialah, mereka sanggup berkongsi pengalaman walaupun di bulan puasa. Mereka dapat meluangkan masa walaupun berakhir jam 1.00 pagi. Inilah yang mendorong penyelidik untuk terus berbual dengan mereka bagi mendapatkan data penting.

Bagi responden pertama, dapat dirumuskan usaha untuk keluar dari perangkap kemiskinan ialah dengan bertukar kerjaya. Beliau bertukar kerjaya dari makan gaji kepada kerja sendiri. Beliau berpendapat, jika kerja sendiri, berjaya atau gagal itu terletak kepada usaha masing-masing. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, Insha Allah kita boleh berjaya. 

Soal beliau, mengapakah perkerja dari Indonesia boleh berjaya, malah ada yang menjadi kontraktor? Pendapatan mereka boleh mencecah RM5,000 sehari, Kita patut belajar dari mereka. Justeru, untuk berjaya, kita sepatutnya berusaha sama seperti mereka.

Responden kedua berpegang, bukan senang untuk menjadi senang, dan bukan susah untuk untuk menjadi susah. Justeru, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Beliau berpegang, perlunya hijrah serta perlu berniaga untuk jadi kaya. Bagi peniaga, untuk mendapat keuntungan RM200.00 sehari bukanlah suatu yang susah. Jual air tepi jalanpun boleh dapat. RM200.00 bermakna RM6,000.00.

Kedua, kita perlu rebut peluang yang ada. Jika kita lambat, peluang itu diambil oleh orang lain. Dengan kata lain, kita perlu tamak merebut peluang.

Beliau menutup kata, beliau masih belum berjaya. Yang pastinya, beliau telah mampu memiliki 13 unit rumah sewa. Itu pencen yang beliau terima setiap bulan. Jika sewa diperoleh sebanyak RM400 sebuah rumah, maka pendapatan bulanan sewa beliau ialah RM5,200.00. Itu adalah anggaran paling minimum. 

Saya berdoa, semoga mereka terus berjaya, dan berdoa saya dipanjangkan umur supaya dapat bertemu lagi dengan kedua-dua mereka, Insha Allah.

No comments: