Wednesday, June 22, 2016

FRGS - Ikhlas, Sabar dan Komited

Al-Hamdulillah, dua lagi  temubual untuk kajian kemiskinan dapat diselesaikan. Temubual responden pertama bermula jam 10.25 malam. Untuk responden kedua pula bermula jam 12.50 malam. Temubual selesai jam 1.50 pagi.

Kedua-dua responden sangat komited dalam usaha masing-masing. Terbuka, jujur, sabar, dan komited. Buktinya ialah, mereka sanggup berkongsi pengalaman walaupun sehingga jam 1.50 pagi. 

Responden pertama adalah seorang pengusaha pengangkutan. Beliau memiliki beberapa buah lori besar - 10 tan. Bercadang untuk menambah lagi kepada trelar.

Berasal dari Selama, Perak. Dibesarkan dalam kalangan keluarga miskin. Malah boleh dikategorikan amat daif. Bersekolah beberapa tahun di peringkat Sekolah Rendah. Beliau terpaksa berhenti kerana kemiskinan. 

Kerjaya bermula sebagai kelindan lori. Tahun demi tahun - naik taraf kepada driver lori. Akhirnya kepada pengusaha lori.

Beliau telah berjaya dalam kerjayanya. Ini terbukti keuntungan bulanan melebihi RM30,000 sebulan. Amat merendah diri. Menurut beliau, jika dapat RM5,000 sebulan pun telah mewah. Orangnya tenang, jika tidak keluar kota, maka suraulah tempat beliau melepak.

Kehidupan masih seperti dulu. Amat sederhana walaupun saya kira beliau telah amat berjaya.

Dulu rumah ibarat reban ayam. Pernah satu malam anak kecilnya hilang semasa tidur. Dalam kegelapan malam beliau mencari anak kecil itu. Akhir ditemuai ia sedang lena di pangkal pokok pisang. Terjatuh kerana lantai rumah tempat beliau berteduh sudah reput dan patah, maka sekecil turut ke bawah bersama lantainya sekali.

Susah dan teramat susah. Eletrik tiada. Air daripada perigi. Namun berbekalkan keikhlasan, kesungguhan, dan tawakal kepada Allah, akhirnya berjaya mencapai cita-citanya.

Harapan beliau, semoga anak-anak dapat meneruskan usaha yang telah dimulakan dengan susah payah. Semoga ia tidak disia-siakan. Ameen.     

No comments: