Sunday, August 16, 2015

ZAKAT DAN PERCUKAIAN KORPORAT DI MALAYSIA



Mengikut Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, bayaran zakat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk (Zahri Hamat, 2015). Pertama, bayaran zakat perniagaan yang dibenarkan bagi Syarikat Luar Pesisir Labuan (LOFSA). Bayaran zakat yang dibenarkan sebagai rebat cukai seperti diperuntukkan di bawah Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan (LOBATA) 1990. Kedua, bayaran zakat perniagaan syarikat yang dibenarkan sebagai potongan belanja dibenarkan di bawah seksyen 44 (11A), ACP 1967 yang berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2005. Ketiga, bayaran zakat perniagaan sama ada unit amanah ataupun koperasi dibenarkan sebagai potongan dibenarkan di bawah Seksyen 44(11A), ACP 1967 yang berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2007.
Ketiga-tiga bentuk potongan zakat perniagaan ini boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, bayaran zakat bagi Syarikat Luar Pesisir Labuan (LOFSA) adalah dibenarkan sebagai rebat cukai.  Kedua, bayaran zakat perniagaan syarikat, unit amanah dan koperasi sebagai belanja yang dibenarkan sebelum taksiran cukai korporat.
 Belanja yang dibenarkan ini diperuntukan di bawah Seksyen 44(11A), ACP1967 ini tertakluk kepada tiga syarat. Pertama, bayaran zakat perniagaan itu mesti dibuat dalam tahun taksiran yang berkaitan. Kedua, amaun zakat perniagaan yang dibayar hendaklah tidak melebihi 2.5 peratus daripada pendapatan agregat syarikat. Ketiga, bayaran zakat hendaklah dibuat atas nama syarikat dan dibayar kepada badan berkuasa agama yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau orang perseorangan yang diberi kuasa oleh badan agama tersebut.
   
 Jadual 1 : Pengiraan Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2008
Keterangan
Contoh 1
Contoh 2
Pendapatan Agregat[1]
RM40,000
RM40,000
Tolak : Zakat Korporat (terhad 40,000 @ 2.5%)
1,000
1,500
Pendapatan Bercukai
39,000
39,000
Jumlah Cukai Korporat (39,000 @ 28%)
10,920
10,920
Jumlah Cukai Kena Dibayar
RM10,920
RM10,920
Dalam Jadual 1, contoh 1 mempamerkan bayaran zakat sebanyak RM1,000 dibenarkan sebagai potongan perbelanjaan sebelum daripada pendapatan bercukai. Walau bagaimanapun, amaun potongan yang dibenarkan tertakluk kepada had maksimum 2.5 peratus daripada pendapat agregat. Justeru, apabila bayaran zakat dibuat sebanyak RM1,500 seperti contoh 2, maka potongan yang diberikan adalah dihadkan kepada RM1,000 sahaja.
Oleh kerana perkiraan potongan zakat korporat yang dibenarkan dibuat berdasarkan penyata pendapatan, maka dua kemungkinan boleh berlaku. Pertama, mungkin jumlah zakat perniagaan sesebuah syarikat itu berjumlah berjuta-juta tetapi jumlah potongan itu tetap dihadkan sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat. Kedua, jika pendapatan agregat berjuta-juta tetapi zakat yang dibayar kurang 2.5 peratus daripada pendapatan agregat, maka manfaat potongan yang diberikan tidak dapat dimaksimumkan. Hal ini terjadi kerana kaedah perakaunan zakat korporat tidak menggunakan angka daripada penyata pendapatan, tetapi sebaliknya menggunakan angka daripada kunci kira-kira.[2]
Persoalannya, bolehkah kaedah perakaunan zakat korporat dan fiqh yang sedang diamalkan di Malaysia dan peraturan taksiran cukai yang sedang berkuatkuasa boleh diharmonikan? Hal ini kerana kaedah modal kerja telah diterima diamalkan di Malaysia, namun taksiran zakat korporat dibuat berasaskan pendapatan. Bagaimanapun perlu diambil ingatan, pembaharuan terhadap kaedah perakaunan zakat korporat atau perniagaan boleh dilakukan kerana kaedah modal kerja dibentuk bukan berdasarkan nas yang qat’i (Zahri Hamat, 2014).


[1] Pendapatan agregat ialah jumlah besar pendapatan perniagaan daripada semua punca termasuk pendapatan perniagaan, sewa, dividen dan lain-lain. Dengan kata lain, potongan zakat korporat yang dibenarkan dikira berdasarkan penyata pendapatan, sedangkan taksiran zakat perniagaan dibuat berdasarkan kunci kira-kira.
[2] Namun begitu ada pihak yang berhujah, pada kebiasaannya jika pendapatan agregat tinggi, maka amaun zakat juga akan tinggi. Ini kerana pendapatan agregat itu biasa melambangkan operasi sesebuah syarikat. Jika operasi syarikat itu besar, maka aset semasa dan liabiliti semasanya juga tinggi. Ini bermakna zakat yang perlu dibayar adalah tinggi. Andaian ini tidaklah semestinya selalu berlaku begitu. Ia boleh berlaku sebaliknya, iaitu syarikat mengalami kerugian tetapi mempunyai aset semasa bersih yang tinggi dan zakat dikenakan ke atas syarikat berkenaaan.

   



No comments: