Wednesday, August 12, 2015

AL-QURAN DAN AL-SUNNAH



Asas penilaian untuk menentukan sesuatu hal sama ada selari dengan Islam atau sebaliknya ialah apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Jika selari dengan ajaran Rasulullah s.a.w, maka ia mestilah selari dengan kehendak Islam. Jika sebaliknya, pastilah ia tidak selari dengan Islam. Bukan apa jua ukuran yang lain.

Rasulullah s.a.w sudah mengingatkan kita tentang hal ini.

Bagaimanakah cara untuk mengetahui apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w? jawapannya ialah, rujuklah kepada al-Kitab iaitu al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri. Kedua-dua itu sahaja penyelamat daripada kesesatan. Jika tidak kita akan tersasar. Rasulullah s.a.w menyebutnya seperti berikut:: 

تَرَكْتُ فِيْكُمْ  اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya" (Imam Muslim, No. Hadis: 2137; Abu Dawud, No. Hadis: 1628; Ibn Majah, No. Hadis: 3060).

Justeru, hati-hati dalam kita membuat penilaian terhadap sesuatu hal. Bimbang yang halal dinyatakan haram, dan yang haram dikatakan halal.

Di samping itu, berusahalah untuk menjadi hamba yang soleh.  Allah s.w.t telahpun mengingatkan kita terdapat beberapa syarat untuk untuk menjadi hamba yang soleh. Antara lain pertama, hubungan di malam hari - mereka bersujud; kedua, beriman kepada Allah dan hari akhirat; ketiga menyuruhkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar; dan terakhir, bersegera mengerjakan kebaikan. Allah s.w.t berfirman maksud seperti berikut:

 “Mereka itu tidak (seluruhnya) sama. Di antara ahli kitab, ada segolongan yang lurus, mereka membaca ayat-ayat Al­lah di waktu malam sedang mereka sujud. Mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian dan menyuruh dengan ma’ruf dan melarang mungkar, bersegera mengerjakan kebaikan dan mereka itu termasuk orang-orang yang soleh” (Ali Imran,3 :113 - 114).

No comments: