Wednesday, June 03, 2015

ZAKAT PRODUKTIF DI BAITUL ACEH : PEMANTAUAN DAN TINDAKAN

Bermula tahun 2012, Baitul Mal Aceh mencari mustahik yang layak dan menyarankan mereka untuk memohon. Muhammad Iqbal, Ketua Lembaga Kewangan Mikro Syariah (LKMS). menjelaskan:

“Faktor seseorang mustahik itu terpilih untuk mendapatkan skim ini adalah verifikasi penghasilan bulanan mustahik. Iaitu melalui formula yang terformat. Dan verifikasi pendataan keluarga miskin dari keuchik gampong yang berkaitan.”

Maka pemilihan seseorang mustahik yang layak adalah berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ialah pendapatan bulanan mustahik. Faktor pendapatan penting bagi memastikan mustahik layak menerima bantuan. Selain daripada itu, Baitul Mal Aceh juga membuat pendataan keluarga miskin di kawasan yang berkaitan. Ini bagi memastikan mustahik benar-benar layak menerima bantuan modal perniagaan.

Pemantauan pula dibuat oleh Pegawai Baitul Mal yang dilantik. Mereka akan membuat pemantauan secara dekat daripada permulaan perniagaan sehingga berjaya. Pemantauan ini dilakukan bermula asnaf tersebut menerima bantuan modal perniagaan sehinggalah asnaf tersebut berjaya membangunkan perusahaan masing-masing. Setelah perusahaan usahawan asnaf mempamerkan kejayaan, maka mereka akan dikeluarkan daripada kelompok asnaf. Mereka akan menguruskan operasi perniagaan masing-masing tanpa bantuan dari pihak Baitul Mal lagi.

Usahawan asnaf mesti membayar ansuran mengikut sektor masing-masing bagi setiap pembiayaan kredit yang diberikan. Sektor perdagangan dan perkhidmatan perlu membuat ansuran bulanan, manakala sektor pertanian pula ansuran perlu dibuat mengikut kesesuaian penerimaan hasil untuk sektor tersebut. Ansuran yang diterima itu akan digunakan untuk pembiayaan kredit seterusnya kepada penerima zakat yang baru.

Majoriti penerima pembiayaan kredit di sektor perdagangan terdiri daripada peniaga sayur-sayuran, kuih-muih, pakaian, perusahaan membuat pongkes dan warung. Mereka yang terlibat dengan sektor ini mempamerkan kejayaan yang membanggakan. Misalnya penerima pembiayaan kredit yang sebelumnya adalah penjual sayur-sayuran secara kecil-kecilan. Mereka telah berubah menjadi pemborong sayur-sayuran kepada penjual sayur-sayuran yang baru memulakan perniagaan mereka. Pembiayaan kredit untuk sektor perdagangan ini menggunakan akad qard al-hasan iaitu pemberian pinjaman tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan. Ansuran bulanan mestilah dibuat sesuai dengan jumlah pinjaman yang diterima untuk tempoh selama setahun.[1] 

Pada mulanya sektor penternakan juga diberi bantuan modal. Bagaimanapun pada tahun 2008, sektor penternakan ditamatkan dan diganti dengan sektor perkhidmatan. Pembiayaan kredit bagi perkhidmatan beca bermotor dimulakan untuk meringankan beban usahawan asnaf. Pembiayaan tersebut menggunakan akad qard al-hasan. Peserta dalam sektor ini dapat menikmati pendapatan serta dapat memiliki beca bermotor. Sebelumnya, sebahagian besar beca yang dipandu mereka adalah beca sewa (Armiadi Musa Basyah, 2009).     

Pembiayaan kredit untuk sektor pertanian diberikan kepada petani-petani di daerah-daerah miskin yang terpilih. Pembiayaan di sektor pertanian juga menggunakan qard al-hasan. Peserta dalam sektor pertanian diagihkan zakat dalam bentuk sara hidup sementara menunggu hasil tanaman mereka dituai. Apabila hasil tanaman telah dituai, contohnya 40 hari untuk tanaman bayam atau 90 hari untuk tanaman kacang, ansuran modal perniagaan yang diambil perlulah dibayar sepenuhnya. Bagi mereka yang tidak mampu membayar sepenuhnya, ansuran dibuat bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Mereka biasanya dapat memperluas kawasan pertanian sehingga pendapatan dan taraf hidup mereka menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Rizky Aulia (2012) menjelaskan:

Mustahik kita anggap sudah sukses ketika usaha yang dilakukan mulai berkembang dan mereka sudah berpenghasilan di atas nisab zakat. Mustahik yang meminjam dana wajib mengembalikan dana pinjaman selama 12 bulan atau satu tahun. Kadar bayaran tergantung jumlah pinjaman. Jumlah pinjaman dana di bagi 12 bulan, begitulah dana yang akan di setor setiap bulannya.”

Sayed Muhammad Husen (2012) menjelaskan seperti berikut:

“Pembayaran dilakukan setiap bulan dalam tempoh satu tahun. Dalam proses pembayaran mustahik tidak disuruh datang ke pejabat Baitul Mal, melainkan amil Baitul Mal yang akan mengunjungi mustahik.”

Walaupun demikian, masih terdapat mustahik yang gagal melangsaikan hutang mereka. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah pasar yang sering berpindah-randah dan penggunaan dana yang kurang bijak. Ini menunjukkan keadaan pasar atau tempat berniaga yang sentiasa berubah mempunyai impak ke atas kejayaan seseorang usahawan asnaf. Selain itu, usahawan yang kurang bijak menguruskan dana pinjaman bukan sahaja menggunakan dana untuk berniaga bahkan untuk perkara lain yang mungkin tidak berfaedah. Ini juga salah satu faktor hutang gagal dilangsai.

Menurut Rizky Aulia (2012) dan Muhammad Iqbal (2012) beberapa tindakan diambil terhadap mereka antara lain ialah denda akan dikenakan terhadap orang yang tidak membayar pinjaman. Antara denda tersebut ialah modal tambahan tidak akan diberi. Permohonan kali kedua mereka tidak akan dilayan sama sekali. Selain itu, bagi perusahaan berkelompok, jumlah dana yang tidak dibayar akan sama-sama ditanggung oleh anggota kelompok. Perbuatan mereka juga akan dilapor kepada ketua kampung untuk diambil tindakan. Akhir sekali nama dan gambar orang yang bermasalah membuat bayaran akan ditampal di surau-surau dan tempat-tempat umum untuk memberi pengajaran kepada mereka.


[1] Bayaran balik daripada usahawan asnaf di sektor perdagangan adalah tahap 79% daripada amaun modal perniagaan yang diambil. Ini suatu kejayaan yang membanggakan kerana bank konvensional yang diuruskan secara profesional dan sudah lama terlibat dengan program ini mampu memungut bayaran balik pada tahap 60% daripada amaun yang diambil (Zahri Hamat, 2011).

No comments: