Wednesday, May 27, 2015

ZAKAT PRODUKTIF DI BAITUL MAL ACEH



Di Baitul Mal Aeh menurut Rizky Aulia, Ketua Bidang Pendistribusian dan Pendayagunaan, Baitul Mal Aceh, sebenarnya terdapat tiga sektor yang diberi bantuan zakat produktif, iaitu sektor perdagangan, pertanian dan perkhidmatan.[1] Bagaimanapun pada tahun 2008, bantuan kepada sektor ternakan dimansuhkan kerana tidak mendatangkan keuntungan yang lumayan. Sektor penternakan diganti dengan sektor perkhidmatan. Setakat ini, sektor perkhidmatan adalah terlalu kecil misalnya Rp8,000,000 sahaja bagi tahun 2012. Pembiayaan di sektor perkhidmatan hanyalah untuk membiayai pembelian beca bermotor.
Jadual 1 : Bilangan Mustahiq dan Amaun Mengikut Sektor
Tahun
Mustahiq Pertanian
Mustahiq Perdagangan
Jumlah Mustahiq
Sektor Pertanian (Rp)
Sektor Perdagangan (Rp)
Jumlah Dana (Rp)
2012
93
216
309
339,000,00
930,500,000
1,269,500,000
2013
192
668
860
545,000,000
2,319,500,000
2,864,500,000
2014
131
461
592
487,0 00,000
2,059,300,000
2,546,300,000
Total
416
1,345
1761
1,371,000,000
5,309,300,000
6,680,300,000
Sumber : Berita BMA, 9 Februari 2015
Jadual 1 mempamerkan bantuan zakat produktif adalah tertumpu kepada sektor perdagangan dan sektor pertanian (Berita BMA, 9 Februari 2015). Bagi tempoh 2012 - 2014, bilangan mustahiq yang terlibat adalah seramai 1,345 peserta yang membabitkan amaun sebanyak Rp6,680,300,000. Sebahagian besar terlibat dalam sektor perdagangan. Misalnya bagi tempoh tersebut sebanyak Rp5,309,300,000 (79.5%) terlibat dalam sektor perdagangan, manakala sebanyak Rp1,371,000,000 (20.5%) lagi dalam sektor pertanian.

Dalam merealisasikan program tersebut, Rizky Aulia menyebut, dua pendekatan yang amat dipentingkan, iaitu kriteria atau syarat pemilihan peserta dan pemantauan. Bagi kriteria pemilihan, Qanun Aceh No. 10/2007, fasal 29 menyebut, penerima zakat dalam bentuk produktif mesti memenuhi tiga syarat. Pertama, sudah mempunyai suatu jenis usaha produktif yang layak. Kedua, bersedia menerima petugas pendamping yang berfungsi sebagai pembimbing. Ketiga, bersedia menyampaikan laporan usaha secara berkala setiap enam bulan.[2] 

Di samping itu, usahawan asnaf akan diberi motivasi daripada segi keagamaan agar mereka dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, bersyukur dan berakhlak mulia. Akhir sekali usahawan asnaf perlu membuat laporan perkembangan perusahaan mereka kepada pegawai Baitul Mal yang dilantik secara berkala setiap enam bulan. Ini bertujuan untuk memastikan mereka berjaya dan tidak menghadapi masalah.

Selain syarat yang ditetapkan oleh Qanun Aceh No. 10/2007, penerima zakat produktif perlu melalui proses pemilihan. Menurut Sayed Muhammad Husein, Ketua Bidang Sosialisasi dan Pengembangan, Baitul Mal Aceh terdapat empat proses yang perlu dilalui oleh pemohon sebelum permohonan mereka disahkan.[3] Pertama, mustahik perlu mendaftar diri di Baitul Mal Aceh. Kedua, pegawai Baitul Mal akan mengenal pasti asnaf layak dan berkebolehan untuk dibangunkan. Ketiga, amil zakat akan melakukan kaji selidik berdasarkan maklumat permohonan mustahik. Ini untuk memastikan perniagaan yang dipilih mampu berkembang dengan baik. Akhir sekali, jika berjaya, pemohon akan diberikan bantuan modal perniagaan dan modal pusingan. Pemohon akan berurusan dengan jawatankuasa pembiayaan di Baitul Mal Aceh. Walaupun begitu, pihak Baitul Mal Aceh tidak mengiklankan skim bantuan yang mereka sediakan. Permohonan dibuat atas inisiatif mustahik sendiri.



[1] Temu bual dengan Rizky Aulia, Ketua Bidang Pendistribusian dan Pendayagunaan, Baitul Mal Aceh pada 20 November 2012 di Baitul Mal Aceh.
[2] Bagi memastikan penerima zakat berjaya dalam usaha masing-masing dan seterusnya mampu berubah menjadi pembayar zakat, selain daripada syarat-syarat tersebut, Baitul Mal Aceh menetapkan beberapa kriteria pembiayaan kredit telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut ialah pertama, memiliki iman dan taqwa. Kedua, jujur dan amanah. Ketiga, dari keluarga yang kurang mampu iaitu pendapatan lebih kecil dari keperluan hidup harian, pendapatan di bawah Rp.1,000,000 dengan mempunyai tanggungan minimum seramai 2 orang, dan rumah yang didiami tidak kekal dan tidak layak diduduki Keempat, memiliki tempat usaha/perniagaan yang tetap dengan barangan perniagaan yang jumlahnya sedikit. Kelima, tidak bekerja sebagai pegawai kerajaan atau pegawai syarikat milik kerajaan mahupun pegawai swasta (Rizky Aulia, 2012).
[3] Temu bual dengan Sayed Muhammad Husein, Ketua Bidang Sosialisasi dan Pengembangan, Baitul Mal Aceh pada 20 November 2012 di Baitul Mal Aceh.

No comments: