Thursday, May 21, 2015

Pendapat Ulama’ Terhadap li tamlik



Pembiayaan kredit merupakan perkara baru, maka ulama’ perlu berijtihad. Inilah yang ditegaskan oleh Armiadi Musa Basyah, Ketua Baitul Mal Aceh.[1] Beliau mengatakan, kalangan ulama perlu berijtihad untuk memutuskan hukum pembiayaan kredit daripada dana zakat. Beliau mengulas seperti berikut:

“..sudah ada perbezaan pendapat kalangan ulama terhadap li tamlik. Ertinya zakat itu tidak semestinya untuk ditamlikkan. Di situ pembiayaan kredit boleh masuk”

Menurut beliau, ini selaras dengan pendapat Yusuf al-Qaradawi dan Mustafa Zarqa’. Mereka berpendapat, zakat tidak semestinya diagihkan dalam bentuk aqad al-tamlik, sebaliknya mesti sesuai dengan keadaan semasa dan setempat. Asas yang pakai oleh para ulama’ dalam menentukan mekanisme ini ialah Maqasid Syariah. Oleh kerana pembiayaan kredit melalui dana zakat ini memberi kebaikan kepada masyarakat setempat, maka ia boleh dilaksanakan. Tambahan pula, tiada nas yang melarangnya.

Bentuk pengagihan zakat melalui pembiayaan kredit adalah sebahagian daripada kelompok muamalah yang hukumnya tiada nas yang terperinci. Hukum asal muamalah adalah harus selagi tiada dalil yang melarangnya. Oleh itu, pada prinsipnya pelbagai aktiviti muamalah termasuk pembiayaan kredit daripada dana zakat dibolehkan selagi tiada dalil yang melarangnya. Namun, ia perlulah tidak terkeluar daripada Maqasid Syariah yang menjaga kemaslahahan umat manusia (Armiadi Musa Basyah, 2009).

Pengagihan zakat dalam bentuk modal kerja melalui pembiayaan kredit ini dikategori dalam peringkat tahsiniyah iaitu peringkat terendah selepas hajiyyah dan daruriyyah. Segala usaha untuk memenuhi keperluan tahsiniyyah menimbulkan hukum sunat, manakala tindakan mengabaikan keperluan tahsiniyyah menimbulkan hukum makruh. Oleh sebab itu, pembiayaan kredit boleh dilakukan walaupun pungutan zakat masih belum dapat memenuhi keperluan asas untuk semua masyarakat (Armiadi Musa Basyah, 2012).


[1] Temu bual dengan Dr. Armiadi Musa Basyah, Ketua Baitul Mal Aceh pada 3 Februari 2012 di Banda Aceh.

No comments: