Tuesday, May 26, 2015

Kriteria Maslahah Dalam Maqasid Syariah


Muhammad Yasir Yusuf, mantan Pengarah Lembaga Amil Zakat Uthman Ibn Affan Aceh Darussalam, mengatakan pembiayaan kredit daripada dana zakat memberi maslahah kepada golongan fakir miskin.[1] Menurut beliau lagi:

“Berdasarkan kriteria maslahah Al-Syatibi, pembiayaan kredit daripada dana zakat ini telah memenuhi kriteria tersebut. Dengan adanya pembiayaan kredit daripada dana zakat ini, umat Islam tidak akan terjebak dengan urusniaga riba dan akhirnya objektif zakat, iaitu membasmi kemiskinan akan tercapai. Ini selari dengan asas maqasid Syariah, iaitu menarik kebaikan dan menolak kerosakan.”

Dengan itu, pengagihan zakat melalui pembiayaan kredit tidak bertentangan dengan konsep maslahah ammah yang ingin dicapai. Zakat yang diberikan melalui pembiayaan kredit kepada satu mustahiq zakat dalam jumlah tertentu adalah untuk memberikan peluang bagi mustahiq berusaha secara lebih maksimum dengan adanya modal yang mencukupi. Hal ini adalah untuk membebaskan dirinya daripada kemiskinan dan akhirnya diharapkan mustahiq zakat melalui usaha mikro akan menjadi muzakki zakat dikemudian hari. Hal ini pula tidak akan merosak maslahah individu daripada mustahiq zakat lainnya. Modal pembiayaan kredit yang telah diberikan tersebut akan dikembalikan semula oleh mustahiq kepada institusi zakat untuk diagihkan kembali kepada mustahiq zakat lainnya.[2] 

Menurut beliau lagi, melalui pembiayaan kredit ini, umat Islam tidak akan terjebak dengan urusniaga riba. Maka jelas di sini menolak mafsadah adalah wajib demi tegaknya kemaslahahan. Prinsip ini menggambarkan bagaimana Islam sangat prihatin terhadap kepentingan awam berbanding kepentingan individu. Hal ini memberikan petunjuk penting dalam membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi perubahan-perubahan signifikan yang terjadi dalam kehidupan sosial masyarakat. Terutamanya ketika tiada nas al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan secara terperinci. Kerangka inilah yang boleh dijadikan sebagai landasan dalam melaksanakan pengagihan dana zakat ke arah lebih berkesan.


[1] Temu bual dengan Dr. Muhammad Yasir Yusof, mantan Pengarah Lembaga Amil Zakat Uthman Ibn Affan Aceh Darussalam, dan  Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Bisnis Islam, Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry pada 20 November 2012 di Banda Aceh. 
[2] Walau bagaimanapun terdapat beberapa hal ulama klasik dan ulama kontemporari berbeza pendapat tentang pengagihan zakat (Armiadi Musa Basyah, 2009). Ulama klasik misalnya berpendapat bahawa zakat mestilah diagihkan dalam bentuk aqad al-tamlik. Dengan itu, harta zakat yang diterima adalah hak milik mutlak penerima zakat. Ulama kontemporari pula berpendapat sebaliknya. Mereka mengatakan bahawa pengagihan zakat tidak semestinya dalam bentuk aqad al-tamlik. Ia boleh disesuaikan dengan keperluan semasa dan keadaan semasa.

No comments: