Wednesday, May 20, 2015

ASAS PEMBIAYAAN KREDIT DI BAITUL MAL ACEH

Secara umumnya, terdapat empat asas agihan bantuan modal perniagaan dalam bentuk pembiayaan kredit daripada dana zakat di BMA. Pertama, berasaskan pemahaman al-Quran dan Hadis secara lughawi atau illah. Kedua, berasaskan perbezaan pendapat ulama’ terhadap li tamlik. Ketiga, berasaskan falsafah dan kefaduan zakat. Keempat, berasaskan kriteria maslahah dalam Maqasid Syariah.

Pemahaman Al-Quran dan Hadis Secara Lughawi atau Illah

Menurut Al Yasa’ Abu Bakar, Ketua Dewan Ulama Aceh Darussalam, al-Quran dan Hadis boleh difahami secara lughawiyah ataupun illah.[1] Menurut beliau, dalam hal pengagihan zakat, yang utama ialah mana yang lebih maslahah sama ada diberikan percuma atau secara pembiayaan kredit. Asas pendapat beliau seperti berikut:

“Al-Quran dan Hadis boleh difahami secara lughawiyah dan secara illah. Boleh juga difahami berdasarkan pertimbangan maslahah. Bagi saya, lihat saja mana yang lebih maslahah, iaitu mana yang paling maslahah.”

Menurut Al Yasa’ Abu Bakar, dalam masalah pengagihan zakat, biasaya para ulama’ berdalil dengan ayat 60, surah al-Taubah. Dalam kaedah usul fiqh, ayat tersebut menunjukkan makna umum. Ini kerana penggunaan istilah li dan istilah fi. Tafsir menyatakan li itu lil tamlik. Jika difahami dari segi bahasa, asnaf yang diawali dengan lafaz li mesti diberikan zakat dalam bentuk benda dan tidak boleh yang lain. Asnaf yang diawali dengan lafaz fi boleh diberikan dalam bentuk manfaat.

Jika difahami daripada segi illah, tujuan zakat boleh dipersoalkan. Maka tujuan zakat tentulah untuk menolong asnaf sehingga dapat keluar daripada kesusahannya. Misalnya kemiskinan, hutang, sakit dan sebagainya. Tiada larangan jika diberikan bantuan kepada orang yang memerlukan agar dapat dihapuskan kesusahannya. Apatah lagi sekiranya orang yang dibantu itu dapat mengembalikan bantuan yang diberikan. Contohnya, seorang peniaga yang bankrap datang meminta pinjaman modal daripada baitul mal. Padahal dia layak menerima bantuan di bawah asnaf gharimin. Hal ini kerana peniaga tersebut mempunyai kemahiran dan mampu membayar balik pinjaman yang diberi dalam tempoh setahun (Al-Yasa’ Abu Bakar, 2012).



[1] Temu bual dengan Prof. Dr. Al-Yasa’ Abu Bakar, Ketua Dewan Ulama Aceh pada 1 Februari 2012 di Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh.

No comments: