Wednesday, May 20, 2015

AGIHAN ZAKAT MELALUI PEMBIAYAAN KREDIT



Al-Quran menyebut secara jelas golongan yang layak menerima zakat. Mereka dikenali sebagai asnaf lapan. Asnaf lapan itu meliputi fakir, miskin, amil, muallaf, hamba, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil (al-Tawbah, 9:60). Agihan zakat pula boleh dibahagikan dalam dua bentuk. Pertama, dalam bentuk sara diri seperti bantuan makanan, sewa rumah, perubatan, dan pendidikan. Kedua, dalam bentuk produktif seperti bantuan pendidikan, modal perniagaan, dan  peralatan perniagaan.

Agihan zakat sama ada dalam bentuk sara diri ataupun bentuk produktif adalah bertujuan bukan sekadar menunaikan ibadah zakat. Menurut Al Yasa’ Abubakar (2012), bukankah tujuan zakat sebenarnya untuk membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan yang tidak dapat mereka atasi sendiri? Menurut beliau lagi, dengan itu tujuan zakat itu sendiri akan mempengaruhi bentuk agihan zakat sama ada secara sara diri atau produktif.

Bentuk agihan produktif ini merupakan program popular di Baitul Mal Aceh. Ini diakui oleh Armiadi Musa, Ketua Baitul Mal Aceh (BMA). Sejak 2006, program tersebut telah dikelolakan oleh Unit Pengelola Zakat Produktif (UPZP). Bermula tahun 2012, UPZP berubah menjadi Lembaga Kewangan Mikro Syariah (LKMS). Mulai tahun 2015, LKMS dikenali sebagai Unit Zakat, Infak dan Sedekah (ZIS) Produktif. Bagi tempoh 2012 - 2014, sebanyak 1,761 usahawan asnaf yang terlibat di mana membabitkan peruntukan sebanyak Rp6,680,300,000 (Berita, 9 Februari 2015).

Menariknya, agihan zakat dalam bentuk bantuan modal perniagaan di BMA ini adalah dalam bentuk pembiayaan kredit, bukannya secara percuma. Persoalan, apakah asas cendekiawan di Aceh ketika membenarkan kaedah tersebut? Bagaimanakah pula mekanisme yang digunakan dalam pelaksanaan  bantuan modal perniagaan tersebut? Apakah bantuan modal perniagaan secara pembiayaan kredit berpotensi untuk dilaksanakan di Malaysia? Hal ini kerana zakat adalah pindahan hak milik dana zakat kepada penerima zakat. Apatah lagi bantuan modal itu dibuat secara qardul hasan dan mudarabah. Ia bukan setakat bantuan modal itu dibayar balik.

Berdasarkan analisis kandungan terhadap data primer dan data sekunder, perbahasan artikel ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, menganalisis asas yang dipakai oleh cendekiawan Aceh yang membenarkan bantuan modal diberikan dalam bentuk pembiayaan mikro. Kedua, menganalisis mekanisme bantuan modal kepada usahawan asnaf di Baitul Mal Aceh. Ketiga, meneroka pendapat cendekiawan zakat di Malaysia terhadap bantuan modal dalam bentuk pembiayaan mikro untuk dilaksanakan oleh institusi zakat di Malaysia.

No comments: