Wednesday, March 18, 2015

ABU ÚBAYD DAN FATWA ZAKAT PADI DI MALAYSIA



Antara kitab klasik yang popular dalam membincangkan taksiran hasil pertanian ialah kitab al-Anwal tulisan Abu Úbayd. Dalam kitab tersebut, Abu Úbayd (1991) memfokuskan kepada dua isu. Pertama ialah tentang kos tanaman atau kos pengeluaran; kedua ialah tentang kos sara hidup. Bagi kedua-dua kos ini, beliau merakamkan satu riwayat daripada Jabir Ibn Zayd yang bermaksud:

“Kata Ibn ‘Abas, dia perlu membayar apa yang dia belanjakan untuk kebunnya sahaja. Kata Ibn Úmar pula, dia perlu membayar apa yang dia belanjakan atas kebunnya dan kepada keluarganya” (Abu Ubayd, 1991: 424).

Mengikut Abu Úbayd (1991), terdapat dua pendapat yang berlainan. Ibn Úmar berpendapat kos tanaman dan untuk kos sara hidup keluarga dibenarkan. Ibn ‘Abbas pula berpendapat kos tanaman sahaja dibenarkan. Abu Úbayd berpendapat, kharaj turut dibenarkan. Beliau melaporkan Ibrahim Ibn Áblah berkata seperti berikut:

“Umar Ibn Ábd. Aziz telah menulis surat kepada Ábdullah Ibn Áuf, gabenornya di Palestin tentang tanah milik orang Islam yang dikenakan cukai kharaj. Beliau menyuruh gabenornya itu memungut zakat sesudah ditolak cukai berkenaan” (Abu Ubayd, 1991: 425).

Dalam kaedah taksiran zakat pertanian, Abu Úbayd berpegang dengan pendapat Ibn Úmar. Ini dipamerkan dalam kesimpulan yang dibuat oleh Abu Úbayd seperti berikut:

“Jika sekiranya hutang itu benar-benar sah diketahui ditanggung oleh pemilik tanah, maka zakat gugur daripadanya kerana hutang itu. Ini menurut pendapat Ibn Úmar, Tawus, Áta dan Makhul. Ia berasaskan al-Sunnah kerana Rasulullah SAW menjelaskan bahawa zakat diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang fakir miskin? Orang itu menanggung hutang dan tidak punya harta, apakah dia masih merupakan pembayar zakat? Lalu bagaimanakah zakat itu harus diambil daripadanya? Apakah mungkin dia boleh menjadi orang kaya dan orang miskin dalam masa yang sama? Malah sebagai seorang yang berhutang, dia termasuk dalam kalangan dua asnaf zakat (miskin dan gharimin)” (Abu Úbayd, 1991: 425).

Mengikut Abu Úbayd, zakat diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin. Apakah mungkin seseorang boleh menjadi orang kaya dan orang miskin dalam masa yang sama? Menurut beliau lagi, seorang yang berhutang adalah termasuk dalam kalangan dua asnaf zakat (miskin dan gharimin) yang layak menerima zakat. Apatah lagi, ia merupakan pegangan kalangan ulama Iraq yang berpegang pendapat Ibn Úmar, Tawus, Áta dan Makhul (Abu Úbayd, 1991: 424). Abu Úbayd turut melaporkan daripada Al-Said Ibn Yazid, Khalifah Úthman b. ‘Affan berkata seperti berikut:

“Bulan ini adalah bulan zakat kamu. Maka sesiapa menanggung hutang, dia hendaklah membayar hutang itu terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan zakatnya. Sesiapa yang tidak mempunyai baki kekayaan, zakat tidak diambil daripadanya” (Abu Úbayd, 1991: 372).

Ibn Kathir (1993) turut mengemukakan pendapat Ibn Ábas ketika mentafsirkan ayat “yang berlebihan dari keperluan (kamu)” (al-Baqarah, 2 : 219) adalah zakat diwajibkan terhadap apa yang kamu miliki melebihi daripada keperluan keluarga kamu. Ini pendapat Ibn Úmar, Mujahid, Ata, Ikrimah, Sa’id b. Jubayr, Muhammad b. Ka’b, Al-Hasan, Qatadah, Al-Qasim, Salim, Ata Al-Khurasani dan Ar-Rabi b. Anas turut berpendapat sedemikian.

Dalam tulisan kontemporari turut mempamerkan kos tanaman atau kos pengeluaran ini dibenarkan ditolak daripada hasil pertanian yang diperoleh. Yusuf al-Qaradawi (1999) antara lain berpendapat, penetapan kadar zakat sama ada 5 peratus atau 10 peratus berdasarkan semata-mata kepada kaedah pengairan dan kos yang terlibat bagi tujuan tersebut. Kos-kos lain seperti pembajakan dan sebagainya hendaklah ditolak bersama cukai tanah sebelum zakat dikenakan sama ada 10 peratus atau 5 peratus.[1]

Menurut Yusuf al-Qaradawi (1999) lagi, bebanan dan kos merupakan faktor yang mempengaruhi penentuan hukum. Misalnya kaedah pengairan yang digunakan mempengaruhi penentuan kadar zakat pertanian. Kadar zakat berbeza disebabkan adanya bebanan dan kos. Bagi kaedah pengairan yang menggunakan peralatan atau tenaga manusia kadar zakatnya ialah 5 peratus sahaja.

Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh MAIN, zakat hasil padi ditaksirkan melalui tiga kaedah. Pertama, zakat padi ditaksirkan berasaskan hasil kasar pada kadar 5 peratus ataupun 10 peratus. Kaedah ini diamalkan di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Perak, Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor[2]. Kedua, zakat padi ditaksirkan berasaskan hasil bersih setelah ditolak kos tanaman pada kadar 10 peratus. Kaedah ini diamalkan antara lain oleh negeri Sarawak. Ketiga, zakat padi ditaksirkan berasaskan hasil bersih setelah ditolak kos pertanian dan kos sara hidup pada kadar 5 peratus atau 10 peratus. Kaedah ini diamalkan di negeri Pulau Pinang dan Perlis. Kos sara hidup tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, keperluan asasi iaitu keperluan keluarga yang asas seperti tempat perlindungan, makanan, pakaian dan pengangkutan. Kedua, tanggungan seperti keperluan diri sendiri, belanja isteri dan anak-anak, ibu bapa dan tanggungan lain seperti adik-beradik, anak angkat, orang gaji dan seumpamanya. Zakat dikenakan zakat pada kadar 5 peratus daripada hasil bersih.


[1] Walaupun petani berpandangan kos tanaman pertanian dibenarkan ditolak, namun majoriti ulama berpendapat bahawa kos tanaman mestilah ditanggung oleh petani. Mereka berpendapat kos tanaman tidak perlu ditolak terlebih dahulu kerana tiada nas yang menyatakan perlu menolak kos tanaman. Nas yang ada hanyalah menerangkan kadar zakat sebanyak 5 peratus atau 10 peratus berdasarkan kaedah pengairan yang digunakan (Wahbah al-Zuhaili, 1994). 
[2] Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ Selangor misalnya memutuskan fatwa pada 22 Mei 2001 bahawa zakat padi ialah 5 peratus daripada hasil pendapatan kasar tanpa menolak kos tanaman. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 2 November 2010 turut mengeluarkan fatwa bahawa zakat pertanian dikeluarkan zakat pada kadar 5 peratus daripada hasil kasar.

No comments: