Monday, February 16, 2015

AMANAH DALAM BEKERJA



Dalam menyempurnakan tugas yang diamanahkan, kita kerap berurusan dengan pihak lain. Antaranya yang memerlulkan kelulusan dari pihak atasan kita.

Dalam kes kelulusan lewat diperoleh misalnya, antara nasihat kawan-kawan ialah meminta saya menelefon pegawai yang bertanggungjawab. Ada juga yang saya ikut, jika ia sudah terlalu lama.

Biasanya, saya hanya menanyakan apakah beliau sudah menerima surat permohonan saya. Jika sudah diterima, maka saya akan diam sahaja. Hanya sekadar itu, saya fikir sudah memadai.

Ini kerana saya berpendapat, itu tugas beliau. Serahkan kepada beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau. Mengapakah kita sibukkan diri dalam bidang kuasa orang lain?

Begitu juga dengan hal yang ada kaitan ketua kita. Mana ada istilah rayu merayu sebelum keputusan diperoleh. Jika ketua kita fikir sesuai untuk diberikan apa-apa kemudahan kepada kita, beliau berilah. Jika tiada sesuai, maka itu hak beliau. Bila ada keputusan dan tidak diluluskan, maka rayuan bolehlah dibuat.

Memang tidak dinafikan terdapat dalam kalangan ketua, bila beliau mahu, maka akan dibuat justifikasi panjang lebar. Ini bertujuan untuk mendapatkannya. Begitu juga bila beliau tidak mahu, maka akan dibuat justifikasi lebih panjang lagi. Kadang kala tergelak kita melihat ragam ketua sebegini.

Balik kepada dalam melaksanakan tugas masing-masing. Apakah kita perlu minta beliau menolong kita untuk membuat kerja beliau yang ada kena mengena dengan kita? Saya berpendapat adalah tidak perlu kerana itu kerja beliau.Beliau mesti tahu itu tugas beliau perlu sempurnakan

Beliau semestinya menggunakan masa sesuai untuk menyelesaikan kerja itu. Mengapakah kita perlu minta beliau tolong buat kerja itu?

Jika beliau tidak membuat kerja itu, itu soal beliau. Itu bukan soal kita. Terserahlah kepada beliau untuk memberikan justifikasi kepada ketua beliau semasa di dunia ini. Bila sudah mati, kesnya akan menjadi lebih berat lagi.

Dalam menyempurnakan tugas yang diamanahkan, maka paling tidak hal-hal berikut perlu diambil perhatian.

Pertama, mestilah menyedari  bahawa tugas adalah amanah. Ia mestilah dilaksanakan sebaik dan semampu yang mungkin. Hal ini kerana ia akan dihisab diakhirat kelak.

Kedua, mestilah mempunyai ilmu dan kemahiran dalam menjalankan tugas itu. Jika tidak tahu, perlu bertanya dan belajar. Jika tidak, hura hara urusan yang kita laksanakan itu.

Ketiga, mestilah mengutamakan kepentingan tugas daripada kepentingan diri. Jangan ada agenda peribadi. Allah tahu niat seseorang. Malah staf kita kadang kala dapat menghidunya walaupun disembunyikan sekalipun.

Keempat, mestilah memastikan tiada penyelewengan sama ada masa, kuasa, dan semua hal-hal material. Niat mestilah semata-mata kerana Allah. Ia diikuti dengan perbuatan yang sejajar dengan kehendak ajaran Islam.

Kita perlulah ingat, bekerja bukan satu kaedah untuk mendapatkan pendapatan yang amat lumayan jika dibanding dengan pendapatan perniagaan.

Dengan kata lain, jika mahu menjadi kaya, maka berniagalah. Hal ini kerana 90 peratus sumber kekayaan adalah daripada perniagaan bukan bekerja makan gaji.



No comments: