Monday, January 26, 2015

FATWA AGIHAN ZAKAT PRODUKTIF




Agihan zakat boleh dibuat dalam dua bentuk. Pertama dalam bentuk sara diri. Kedua dalam bentuk produktif. Dalam bentuk produktif boleh dibuat apabila agihan dalam bentuk sara diri telah disempurnakan sepenuhnya. Betulkah begitu?

Namun, perlu diambil ingatan bentuk agihan itu adalah bidang kuasa pihak pemerintah. Pemerintah boleh mengubahsuai bentuk agihan bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa. Ia adalah tertakluk kepada ijtihad pemerintah.

Malah agihan turut boleh dibuat dalam bentuk pinjaman. Misalnya untuk bantuan modal perniagaan. Ini juga merupakan perkara ijtihadi.

Di Malaysia sendiri misalnya terdapat dua fatwa. Namun fatwa tersebut yang saling bertentangan. Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang 2009 misalnya tidak membenarkan pinjaman daripada dana zakat:

“Pihak urusetia Biasiswa perlu mendapat kepastian samada kenyataan Y.B Dato' Seri pada 4 Mac 2000 benar-benar dimaksudkan dengan wang zakat kerana perkataan zakat tiada disebut dalam ucapan beliau. Tidak ada mana-mana Majlis Agama negeri-negeri yang melaksanakan skim pinjaman pengajian dari sumber zakat. Wang zakat itu sendiri tidak boleh diberi sebagai bantuan pinjaman kerana harta zakat merupakan tamlik (memberi milik) bukan untuk pinjaman oleh mereka.”

Sebaliknya keputusan Jawatankuasa Fatwa Melaka 2011 membenarkan:

“Skim bantuan pinjaman perniagaan secara al-Qardhu al-Hassan daripada asnaf al-gharimin boleh dibuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengambilkira pendapatan pemohon selagimana perniagaan yang dijalankan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Bagaimanapun, disebabkan dana zakat yang terhad, maka pentadbir zakat perlu menetapkan syarat-syarat tertentu dalam pemberian pinjaman perniagaan ini berdasarkan kaedah awlawiyyat (keutamaan) bagi menjamin wang zakat dapat diagih secara adil kepada semua sanaf yang berhak. Justeru itu, disyorkan supaya skim ini hanya layak untuk pemohon yang memenuhi syarat-syarat berikut: a) Pemohon yang hendak memulakan perniagaan sahaja. b) Pemohon tidak mampu memperolehi pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan berlandaskan syariah.”

Keputusan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor 1998 juga membenarkannya Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti serta mengikut hukum yang mu’tabar dan mengambil keputusan seperti berikut:

“Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang diadakan pada 23 Mac 1998 memutuskan untuk bersetuju dan menerima dengan pembaharuan palaksanaan agihan modal melalui konsep bayar semula separuh peruntukan agihan modal dalam Dana Amanah Fakir/Miskin dan Muallaf (DAM).”

Berdasarkan fatwa di atas, jelas menunjukkan agihan zakat dalam bentuk pinjaman diharuskan. Keputusan itu adalah terletak di bawah bidangkuasa pihak pemerintah.

Oleh sebab itu, kaedah ini berpotensi untuk dilaksanakan. Kaedah ini telah dilaksanakan oleh Baitul Mal Aceh. Kita mungkin boleh berkongsi pengalaman dengan mereka.




No comments: