Sunday, January 25, 2015

BERILMU DAN AMANAH



Dalam apa keadaan sekalipun, bila kita menjalankan tugas yang diamanahkan, kita mesti sentiasa ingat bahawa dua syarat penting yang mesti dipatuhi. Pertama, berpengetahuan; dan kedua, amanah. Jika kita tidak dapat mematuhinya, maka lebih baik kita menarik diri dalam menjalankan tugas tersebut. 

Jika tidak, kita akan menzalimi pihak yang berurusan dengan kita. Yang lebih penting lagi, kita menzalimi diri kita sendiri, khususnya di akhirat kelak.

Maka, hati-hati sebarang tugas yang kita terima, ataupun tugas yang diamanahkan kepada kita.

Hal ini disebut secara jelas lagi nyata dalam al-Quran. Misalnya, bagaimana Nabi Syuib memilih Nabi Musa sebagai pekerja beliau. Peristiwa itu dirakam dalam al-Quran yang bermaksud:

Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata :wahai ayahku! ambillah ia sebagai orang upahan, sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja itu ialah orang yang kuat lagi amanah” (al-Qasas, 28 : 26).

Al-Quran secara jelas dan nyata menyebut kedua-dua syarat itu iaitu pertama, orang yang kuat atau القوي; dan kedua, orang yang amanah atau الأمين.

Dalam peristiwa lain ialah bagaimana Nabi Yusuf diangkat oleh Raja Mesir menjadi Bendahari negara Mesir. Al-Quran turut menyebut yang bermaksud:

Yusuf berkata: Jadikanlah aku Bendahari negeri (Mesir), kerana sesungguhnya aku orang yang pandai menjaga dan berpengetahuan” (Yusuf, 12 : 55).

Syarat berpengetahuan boleh dipelajari. Maka tidak sukar untuk mendapat calon yang berpengetahuan. Syarat amanah tidak perlu dipelajari. Ia sepatutnya lebih mudah diperoleh. Namun syarat itu sukar diamalkan bagi sesetengah orang.

Oleh sebab itulah syarat kedua kerap terabai. Pernah diberitahu apa yang berlaku dalam suatu penilaian permohonan geran penyelidikan. Diberitahu bahawa, pemohon menyatakan dalam kaedah penyelidikan permohonan geran beliau, responden yang dipilih mewakili dua kumpulan. Kumpulan pertama seramai 14 orang responden. Dinyatakan jawatan responden-responden tersebut. Kumpulan kedua seramai sembilan orang responden. Dinyatakan nama-nama responden tersebut. 

Maka bilangan responden adalah 23 orang (14 + 9). Namun apakah yang berlaku?

Amat menarik apabila penilai membuat ulasan seperti berikut. Interesting but proposal has several weaknesses. ...How many samples will be selected? 

Maka di manakah letaknya syarat amanah penilai ini?

No comments: