Wednesday, January 28, 2015

ABU ÚBAYD DAN TAKSIRAN ZAKAT PERTANIAN



Antara kitab klasik yang popular dalam membincangkan taksiran zakat hasil pertanian ialah kitab al-Anwal tulisan Abu Úbayd. Dalam kitab tersebut, Abu Úbayd (1991) memfokuskan kepada dua isu. Pertama ialah tentang kos tanaman; kedua ialah tentang kos sara hidup. Bagi kedua-dua kos ini, beliau merakamkan satu riwayat daripada Jabir Ibn Zayd yang bermaksud:

“Kata Ibn ‘Abas, dia perlu membayar apa yang dia belanjakan untuk kebunnya sahaja. Kata Ibn Úmar pula, dia perlu membayar apa yang dia belanjakan atas kebunnya dan kepada keluarganya” (Abu Ubayd, 1991: 424).

Mengikut Abu Úbayd (1991), terdapat dua pendapat yang berlainan. Ibn Úmar berpendapat kos tanaman dan untuk kos sara hidup keluarga dibenarkan. Ibn ‘Abbas pula berpendapat kos tanaman sahaja dibenarkan. Abu Úbayd berpendapat, kharaj turut dibenarkan. Beliau melaporkan Ibrahim Ibn Áblah berkata seperti berikut:

“Umar Ibn Ábd. Aziz telah menulis surat kepada Ábdullah Ibn Áuf, gabenornya di Palestin tentang tanah milik orang Islam yang dikenakan cukai kharaj. Beliau menyuruh gabenornya itu memungut zakat sesudah ditolak cukai berkenaan” (Abu Ubayd, 1991: 425).

Dalam kaedah taksiran zakat pertanian, Abu Úbayd berpegang dengan pendapat Ibn Úmar. Ini dipamerkan dalam kesimpulan yang dibuat oleh Abu Úbayd seperti berikut:

“Jika sekiranya hutang itu benar-benar sah diketahui ditanggung oleh pemilik tanah, maka zakat gugur daripadanya kerana hutang itu. Ini menurut pendapat Ibn Úmar, Tawus, Áta dan Makhul. Ia berasaskan al-Sunnah kerana Rasulullah SAW menjelaskan bahawa zakat diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang fakir miskin? Orang itu menanggung hutang dan tidak punya harta, apakah dia masih merupakan pembayar zakat? Lalu bagaimanakah zakat itu harus diambil daripadanya? Apakah mungkin dia boleh menjadi orang kaya dan orang miskin dalam masa yang sama? Malah sebagai seorang yang berhutang, dia termasuk dalam kalangan dua asnaf zakat (miskin dan gharimin)” (Abu Úbayd, 1991: 425).

Mengikut Abu Úbayd, zakat diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin. Apakah mungkin seseorang boleh menjadi orang kaya dan orang miskin dalam masa yang sama? Menurut beliau lagi, seorang yang berhutang adalah termasuk dalam kalangan dua asnaf zakat (miskin dan gharimin) yang layak menerima zakat. Apatah lagi, ia merupakan pegangan kalangan ulama Iraq yang berpegang pendapat Ibn Úmar, Tawus, Áta dan Makhul (Abu Úbayd, 1991: 424). Abu Úbayd turut melaporkan daripada Al-Said Ibn Yazid, Khalifah Úthman b. ‘Affan berkata seperti berikut:

“Bulan ini adalah bulan zakat kamu. Maka sesiapa menanggung hutang, dia hendaklah membayar hutang itu terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan zakatnya. Sesiapa yang tidak mempunyai baki kekayaan, zakat tidak diambil daripadanya” (Abu Úbayd, 1991: 372).

Ibn Kathir (1993) turut mengemukakan pendapat Ibn Ábas ketika mentafsirkan ayat “yang berlebihan dari keperluan (kamu)” (al-Baqarah, 2 : 219) adalah zakat diwajibkan terhadap apa yang kamu miliki melebihi daripada keperluan keluarga kamu. Ini pendapat Ibn Úmar, Mujahid, Ata, Ikrimah, Sa’id b. Jubayr, Muhammad b. Ka’b, Al-Hasan, Qatadah, Al-Qasim, Salim, Ata Al-Khurasani dan Ar-Rabi b. Anas turut berpendapat sedemikian.

No comments: