Monday, November 24, 2014

UTAMAKAN ZAKAT PRODUKTIF



Al-Quran menyebut aset atau harta yang diwajibkan zakat dalam dua bentuk. Pertama, dalam bentuk umum;  dan kedua, dalam khusus. Namun, ia berbeza dengan agihan zakat. Al-Quran menyebut secara detail asnaf yang layak menerima zakat yang bermaksud:
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Taubah 9:60)”.
     Lapan asnaf yang layak menerima zakat. Menurut ulama’ tafsir, ayat 60 Surah al-Taubah diturunkan sebagai penjelasan dan sokongan terhadap tindakan Rasulullah dalam pembahagian zakat (al-Suyuti, 2006; al-Baghawi, 2004). Hal ini sebagaimana Abu Sa’id al-Khudri berkata:
“Ketika kami bersama Rasulullah SAW yang sedang membahagikan harta ghanimah, datang seorang lelaki dari Bani Tamim dan berkata: Wahai Rasulullah, berlaku adillah. Rasulullah bersabda: Celakalah kamu, siapa lagi akan berlaku adil kalau aku tidak berlaku adil. Sesungguhnya kamu telah rugi sekiranya aku tidak berlaku adil” (Muslim, No:1765).
    Hadis ini membuktikan zakat harus diagihkan secara tegas dan sempurna. Persoalannya, pertama, adakah zakat perlu diagihkan kepada semua asnaf atau sebaliknya? Kedua, bagaimanakah kaedah pengagihan dana zakat kepada lapan asnaf tesebut?
      Para ulama berhujah berdasarkan kepada lafaz li dan fi semasa Allah SWT menyebut golongan yang berhak menerima dana zakat. Lafaz li digunakan untuk asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf. Lafaz fi pula disebut sebanyak dua kali. Pertama adalah untuk hamba dan orang yang berhutang. Kedua adalah fi sabilillah dan ibn sabil
     Pemakaian lafaz li dalam ayat ini menunjukkan Allah SWT menyatakan pemilikan harta zakat adalah hak mutlak golongan fakir, miskin, amil dan muallaf.[1] Golongan ini mempunyai kebebasan untuk menggunakan harta yang diterima mengikut kehendak masing-masing. Pemakaian lafaz fi menunjukkan pengagihan zakat kepada golongan hamba, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil. Kebanyakan ulama menyatakan ia adalah berkaitan dengan kemaslahatan. Mereka sama sekali tidak mempunyai hak peribadi terhadap harta tersebut.[2] Hal ini disokong oleh pernyataan Ibn ‘Arabi (1974:947) di mana “Huruf lam pada lil fuqara’ membawa maksud pemilikan”.
     Ini menunjukkan lapan asnaf yang disebut adalah pemilik zakat. Zakat tersebut mesti diagihkan kesemuanya kepada mereka. Hal ini dikukuhkan lagi dengan pendapat Ibn Hazm (1988:141):
“Zakat harta atau zakat fitrah hendaklah diagihkan sama rata kepada lapan asnaf. Dan tidak harus mengagihkan zakat kepada kurang daripada tiga golongan, kecuali mereka tidak wujud. Maka berikanlah kepada golongan yang wujud.”



[1] Menurut Hasanah Abd Khafidz (2006), lafaz li ini berasal daripada huruf lam yang tergolong dalam huruf lam al-idafah iaitu lam yang digunakan bagi menyandarkan sesuatu kepada pemiliknya atau menisbahkan sesuatu yang boleh dimiliki kepada orang yang berhak memilikinya. Antara lam al-idafah ialah lam al-mulk iaitu pemilikan dan lam al-tamlik iaitu pindahan hak milik. Lafaz fi pula tergolong dalam al-hurf iaitu perkataan yang tidak menunjukkan apa-apa makna jika bersendirian. Ia akan memberikan makna jika diletakkan dengan perkataan lain dalam susunan ayat.
[2] Menurut Mujaini Tarimin (2005), walaupun golongan fakir, miskin, amil dan muallaf mempunyai hak mutlak terhadap pemilikan harta zakat, tetapi kaedah perpindahan hak milik itu boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Hal ini kerana antara tujuan zakat ialah untuk pembangunan asnaf zakat sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan kerohanian. Nabi Muhammad S.A.W memberi perhatian yang serius terhadap isu kemiskinan. Baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa zakat perlu dibelanjakan untuk membantu golongan miskin (Yusuf al-Qaradawi, 1999).

No comments: