Thursday, July 10, 2014

Syed Salman dan Ph.D

Al-Hamdulillah, viva voce Syed Salman Hassan telah selesai pada Khamis,10 Julai 2014. Keputusannya lulus dengan beberapa pembaikan yang perlu dibuat. Saya doakan semoga pembaikan itu dapat diselesai sebelum beliau pulang ke Pakistan untuk menyambut Idul Fitri bersama keluarga di sana.

Insha Allah, beliau berpeluang berhari raya bersama keluarganya.

Beliau amat komited dalam menyempurnakan kajian tesis beliau. Ini terbukti antara lain pada Rabu, 16 Julai 2014 beliau telahpun menyerahkan tiga salinan tesis ke IPS, USM. Beliau hanya mengambil masa enam hari sahaja.Kita patut ambil iktibar.

Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pemeriksa luar, Prof Joni Tamkin Borhan dari Universiti Malaysia. Berbanyak terima kasih juga kepada kedua-dua pemerika dalam, iaitu Prof Muhammad Syukri Salleh, Pengarah ISDEV, USM dan Prof Madya Atikullah Abdullah, pensyarah di PPIK, USM. 

Saya amat berterima kasih kepada Prof Muhammad Syukri yang telah membuat penyemakan dan pengesahan dalam tempoh waktu yang amat singkat. Prof Muhammad Syukri membuat penyemakan dan pengesahan itu di luar waktu pejabat.

Tajuk tesis beliau ialah Islamic-Based Microfinance and Poverty Alleviation: Case Study of Home-Based Women Workers in Pakistan.

Apa yang boleh diambil iktibar ialah beliau cukup gigih dan sangat disiplin dalam menyelesaikan kajian tersebut. Beliau mendaftar di PPSK, USM 15 Februari 2012. Selepas itu, beliau berjumpa saya untuk berbincang tentang isu yang hendak dikaji. Saya minta beliau lakarkan isu, apa yang akan disorot dan bagaimana kajian akan dilaksanakan. Dengan kata lain, bab 1, bab 2 dan bab 3. Yang penting mesti dalam satu halaman sahaja.

Selepas satu minggu beliau datang kembali. Dan al-Hamdulillah selepas empat bulan beliau membentangkan proposal kajian. Proposal itu dipersetujui dengan sedikit penambahbaikan.

Selepas itu beliau menulis bab 1, bab 2, dan bab 3. Saya sudah lupa berapa lama beliau siapkan. Seterus beliau kembali ke Pakistan untuk memungut data. 

Setelah selasai memungut data, beliau berjumpa saya bagi maksud penulisan tesis selanjutnya. Sebelum menyiapkan penulisan tersebut, beliau terpaksa pulang ke Pakistan. Bapa beliau sakit yang serius. Bapa beliau tidak lama kemudian meninggalkan alam fana ini. Ini diikuti oleh abang beliau.

Saya nasihat beliau, selesai penulisan tesis di sana. Saya cadangkan beliau menulis satu bab bagi setiap objektif kajian yang beliau buat itu.

Beliau berhubung dengan saya melalui e-mel sehingga tesis diselesaikan. Saya cadang supaya beliau datang ke USM untuk membuat sedikit pembaikan. Setelah dibaiki, diserahkan 10 salinan ke IPS, saya cadangkan beliau kembali ke Pakistan, dan tunggu untuk viva vove.

Al-Hamdulillah, beliau telah serahkan 10 salinan tesis itu pada 13 Mac 2014. Apabila saya amati, masa yang diambil untuk menyelesaikan kajian Ph.D itu hanya sekitar 25 bulan sahaja. Viva vove pada 10 Julai 2014. Dengan kata lain, dari tarikh daftar iaitu 15 Februari 2014 sehingga tarikh viva sekitar 2 tahun  sebulan. Tahniah saya ucapkan kepada beliau.

Semoga pengalaman, komitmen, kesabaran dan kesungguhan beliau ini boleh dijadikan iktibar untuk calon Ph.D yang lain, khususnya di bawah seliaan saya.

No comments: