Thursday, April 17, 2014

PEMBAHARUAN PERAKAUNAN ZAKAT PERTANIAN DI MALAYSIA

Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di Malaysia mewajibkan zakat perniagaan terhadap hasil kelapa sawit dan getah yang diusahakan secara komersial. Zakat pertanian diwajibkan terhadap hasil pertanian yang dijadikan makanan asasi sahaja. Dengan itu, hanya padi yang diwajibkan zakat pertanian (JAKIM, 2001; JAWHAR, 2008). Padi diwajibkan zakat pertanian sama ada ia diusahakan secara tradisional ataupun komersial.[1]

Pembaharuan dalam perakaunan zakat hasil padi boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, zakat padi dikenakan terhadap pendapatan kasar pada kadar 5 peratus atau 10 peratus. Kedua, zakat padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pertanian pada kadar 10 peratus. Ketiga, zakat padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pertanian dan kos sara hidup pada kadar 10 peratus.

Kategori pertama diamalkan di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Perak, Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ Selangor misalnya memutuskan fatwa pada 22 Mei 2001 bahawa zakat padi ialah 5 peratus daripada hasil pendapatan kasar tanpa menolak kos pengeluaran. Hal ini kerana dalam penanaman padi para petani perlu mengeluarkan kos yang tinggi termasuk perkhidmatan air dan jentera untuk mendapatkan hasil yang baik dan lumayan. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 2 November 2010 turut mengeluarkan fatwa bahawa zakat pertanian dikeluarkan zakat pada kadar 5 peratus daripada hasil kasar.

Ini berbeza dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 2 Jun 1990. Bagi petani yang mendapat bekalan air daripada tali air dikenakan zakat pada kadar 10 peratus. Hal ini kerana penanam padi tidak bersusah payah dan tidak pula memerlukan apa-apa tenaga untuk mendapatkan air. Sementara itu, cukai air dikenakan oleh pihak kerajaan pula pada kadar tidak membebankan dan dengan itu tidak mengubahkan kadar zakat yang ditetapkan itu. Jawatankuasa berpendapat bahawa bayaran sewaan terhadap tanah yang diusahakan tidak boleh ditolak daripada hasil tanaman. Keputusan yang sama dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang mengenakan zakat terhadap hasil kasar padi yang diperoleh tanpa ditolak kos sewa jentera pembajak, racun dan sebagainya seperti yang diputuskan pada1 Januari 1970. Kaedah yang sama diamalkan di negeri Kelantan.

Kategori kedua diamalkan antara lain di negeri Sarawak, Pulau Pinang dan Perlis. Kadar zakat di Sarawak ditentukan berasaskan kaedah diusahakan dan sumber air. Padi yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lain-lain seperti binatang, jentera atau perbelanjaan yang banyak, maka zakat dikenakan pada kadar 5 peratus. Jika sekadar menggunakan sumber air hujan atau air sungai, maka zakat dikenakan pada kadar 10 peratus.

Antara kos yang dibenarkan ditolak di negeri Sarawak adalah kos baja, racun, sewaan, upahan tenaga kerja, penuaian, dan kos pengangkutan. Jika nilai jualan padi pada musim pertama kurang daripada nisab, maka hendaklah dicampurkan ke musim kedua dalam tahun yang sama. Zakat dikenakan sama ada pada kadar 5 peratus, 7.5 peratus atau 10 peratus mengikut kaedah yang digunakan. Kaedah yang sama turut diamalkan di Pulau Pinang. Bagaimanapun zakat dikenakan pada kadar 10 peratus ke atas nilai bersih selepas ditolak kos baja, racun, sewaan, upahan tenaga kerja dan pengangkutan. Nisab ditentukan selepas tolakan semua kos berkenaan. Sekiranya harga padi selepas ditolak kos tersebut kurang daripada RM715.00, maka zakat tidak diwajibkan.[2]

Di Kelantan bagaimanapun agak berbeza jika tanaman padi tersebut diusahakan secara komersial. Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 12 September 1999 tentang zakat padi daripada projek penanaman padi yang diusahakan secara ladang telah membuat fatwa seperti berikut:

Pertama, padi yang dihasilkan dari projek penanaman padi secara estet diwajibkan zakat ke atas pemilik-pemilik tanah apabila cukup nisabnya berdasarkan atas pendapatan bersih masing-masing setelah ditolak kos pengurusan projek yang dikeluarkan oleh agensi pelaksana. 

Kedua, bagi tujuan menyelaras serta memudahkan urusan pengeluaran zakat tersebut, agensi pelaksana boleh mengeluar zakat bagi pihak pemilik-pemilik tanah setelah mendapat persetujuan masing-masing.

Kategori ketiga hanya diamalkan di negeri Perlis. Kos yang dibenarkan ditolak adalah kos baja, racun, sewaan, upahan tenaga kerja, penuaian, dan kos pengangkutan. Di samping kos-kos tersebut, petani turut dibenarkan menolak kos sara hidup. Kos sara hidup tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, keperluan asasi iaitu keperluan keluarga yang asas seperti tempat perlindungan, makanan, pakaian dan pengangkutan. Kedua, tanggungan seperti keperluan diri sendiri, belanja isteri dan anak-anak, ibu bapa dan tanggungan lain seperti adik-beradik, anak angkat, orang gaji dan seumpamanya. Zakat dikenakan zakat pada kadar 5 peratus daripada hasil bersih.


[1] Temua bual dengan Dato' Muhamad Shukri Muhamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan di Pejabat Mufti Negeri Kelantan pada 28 Julai 2013.
[2] Kadar nisab berbeza-beza mengikut negeri misalnya Johor adalah RM697.50, Kedah adalah 975.30, Terengganu adalah 703.12, Selangor adalah 979.50, Melaka adalah RM1,089, Kelantan adalah RM698.10, Pahang adalah RM1,089.00, Negeri Sembilan adalah RM979.50, Perak adalah RM1,044.75 dan Perlis adalah RM740.03.

No comments: