Wednesday, February 19, 2014

Zakat Peniaga Kecil

Dilaporkan peniaga kecil dianggarkan 30 peratus sahaj yang menunaikan zakat. Mengapakah berlaku sedemikian? Apakah mereka membayar zakat terus kepada asnaf? Atau mereka masih tidak cukup nisab, maka dengan itu mereka tidak perlu membayat zakat. Jika mereka termasuk dalam golongan yang diwajibkan zakat, tetapi tidak membayar zakat, maka bagaimanakah kaedah yang patut dipakai untuk menyedarkan mereka agar menunaikan zakat?

Dipersilakan untuk membuat penyelidikan mengapakah berlaku sedemikian?

KUALA LUMPUR - Kesedaran berhubung kepentingan menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan di kalangan peniaga kecil masih rendah, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Abdul Hakim Amir Osman.
 
Beliau berkata setakat ini dianggar 30 peratus sahaja peniaga kecil yang cukup syarat tampil menunaikan tanggungjawab itu manakala bakinya 70 peratus lagi berkemungkinan tidak tahu keperluan untuk berbuat demikian.
 
Mengulas punca berlakunya perkara itu, Abdul Hakim Amir berkata kebanyakan peniaga kecil terlepas pandang akan kepentingan menunaikan zakat, selain faktor kurangnya pengetahuan mengenai asas, syarat dan kaedah pembayaran zakat perniagaan.
 
"Kurang pengetahuan menyebabkan mereka (peniaga kecil) merasakan tidak perlu membayar zakat perniagaan dan hasil pendapatan boleh dibelanjakan begitu sahaja, sedangkan wajib ke atas mereka untuk membayarnya jika cukup segala syarat," katanya kepada Bernama.
 
Zakat perniagaan wajib dikeluarkan peniaga yang menjalankan perniagaan seperti perikanan, pertanian, perkhidmatan atau perniagaan lain sama ada dalam bentuk perniagaan sendiri, perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan syarikat, koperasi dan sebagainya.

Peniaga wajib mengeluarkan zakat mengikut kadar yang ditetapkan iaitu sebanyak 2.5 peratus atas harta perniagaan yang layak dizakatkan tertakluk kepada kadar nisab.
 
Bagi memastikan peniaga kecil melaksanakan tanggungjawab itu, PPZ-MAIWP sentiasa komited memberi pendidikan dan maklumat berkaitan perkara itu serta menganjurkan program Bicara Santai dan mewujudkan van bergerak zakat untuk memudahkan peniaga menunaikan zakat.
 
Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPZ-MAIWP mengutip RM33.9 juta zakat perniagaan daripada 982 pembayar dan daripada jumlah itu sebanyak RM5.47 juta ialah zakat perniagaan yang diterima daripada 398 peniaga kecil di seluruh Wilayah Persekutuan. - Bernama

No comments: