Friday, September 06, 2013

Kemiskinan, Pendidikan dan Dana

Pada 9 September 2013 bermulalah semester baru pengajian di universiti. Pendaftaran bagi pelajar baru bermula minggu lepas. Ini termasuklah pengajian untuk ijazah lanjutan.
 
Ada pelajar yang berjaya mendaftar, dan ada yang gagal. Yang gagal itu disebabkan antara lain kekurangan dana untuk membayar yuran pendaftaran. Mereka golongan yang kurang bernasib baik kerana kemiskinan. Dengan kata lain, mereka adalah kalangan asnaf zakat dalam golongan fakir dan miskin.
 
Oleh kerana mereka adalah asnaf zakat, mereka telah pergi ke institusi zakat untuk mendapat bantuan bagi membayar yuran pendaftaran. Itupun hanyalah untuk yuran bagi semester pertama sahaja. Yuran seterusnya akan dipohon daripada PTPTN ataupun MyBrain.
 
Tapi paling menyedihkan, terdapat institusi zakat memberi jawapan, peruntukan asnaf zakat untuk ijazah lanjutan tidak disediakan. Dengan kata lain, bantuan hanyalah untuk ijazah pertama sahaja. Maka pelajar tersebut pulang tanpa mendapat apa-apa bantuan. Pengajian beliaupun terbantut. Maka nokhtah untuk beliau meneruskan pengajian.
 
Namun di institusi zakat negeri lain, diperuntukan zakat bagi pelajar ijazah lanjutan. Ia diperuntukan di bawah asnaf fi sabilillah. Dengan kata lain, walaupun pelajar itu mungkin dari golongan yang berada, masih berpeluang untuk mendapat zakat. Hal ini kerana mereka diperuntukan di bawah asnaf fi sabilillah, bukan fakir dan miskin.
 
Persoalannya ialah, betulkah prosedur yang ditetapkan oleh instusi zakat yang tidak memperuntukkan zakat kepada mereka? Atau mungkinkah prosedur yang memperuntukkan zakat di bawah asnaf fi sabilillah itu tidak betul? Atau mungkingkah staf di institusi zakat tersebut lebih bijaksana?
 
Apa yang saya timbulkan ini adalah satu kisah benar. Pelajar yang saya sebut itu pula walaupun bukan mendapat CGPA 3.50, tetapi CGPA beliau sekitar 3.25.
 
Hal ini pernah saya timbulkan. Jikalah ada universiti untuk orang fakir dan miskin, maka isu ini tidak timbul sama sekali. Namun, penubuhan universiti seumpama itu bukanlah suatu yang mustahil. Tinggal lagi kenalah ada berusaha tanpa jemu.
 
Justeru, penubuhan sebuah universiti yang boleh memenuhi keperluan pendidikan bagi golongan tersebut secara percuma adalah diperlukan. Institusi zakat di Malaysia antara yang boleh membiayai pentadbiran universiti tersebut.
 
Kita hendaklah berusaha sungguh-sungguh agar golongan fakir miskin ini boleh bertukar status daripada asnaf zakat kepada pembayar zakat. Daripada mustahik kepada muzzaki.

No comments: