Sunday, September 22, 2013

Menulis Draf Tesis

Apabila kita serahkan draf tesis untuk dibaca oleh penyelia, kita harapkan penyelia kita membacanya secepat mungkin. Namun, kerap yang berlaku adalah penyelia lambat menyerahkan draf tesis itu kepada kita. Lambat pula dibaca oleh penyelia. Mengapakah hal sedemikian berlaku?

Ada banyak sebab ia berlaku sedemikian. Pertama, mungkin kita menulis tesis seperti menulis buku. Tesis bukan sebuah buku. Tesis mempunyai format tertentu dan kaedah tertentu. Kita tidak bebas menulis sebuah tesis seperti bebasnya kita apabila menulis sebuah buku. Justeru, kita perlulah melihat tesis-tesis yang bersesuaian dengan bidang kita supaya kita tidak terbabas.

Kedua, jika tesis kita itu bercorak sains sosial, kita perlu menulisnya mengikut sains sosial. Kita jangan menulis tesis dalam bidang sains sosial seperti menulis tesis dalam bidang pengajian Islam atau bidang-bidang lain selain daripada sains sosial. Begitulah hal sebaliknya. Masing-masing bidang pengajian mempunyai disiplinnya tersendiri.

Kedua, elakkan daripada melakukan kesalahan-kesalahan asas. Antaranya adalah kesalahan ejaan, susunan ayat, kesenambungan dalam perbincangan, cara membuat rujukan, dan kaedah membuat petikan. Jika terlalu banyak membuat kesalahan sedemikian, ia akan mengganggu kelancaran penyelia semasa membuat penyemakan tesis itu. Hasil, masa yang lama diperlukan oleh beliau.

Ketiga, yang paling malang lagi ialah, kita terlalu mengharapkan penyelia kita yang akan membuat pembetulan terhadap kesilapan yang pertama dan kedua di atas. Seolah-olah penyelia kita adalah editor untuk tesis yang kita tulis itu. Kita menyerahkan draf tesis setelah hanya membuat penyemakan yang paling minimum. Adalah tidak cukup sekadar membuat penyemakan melalui softcopy tanpa membacanya melalui hardcopy tesis itu. Melalui hardcopy pun kita perlu semak berkali-kali. Jika tidak, maka tidak pelik penyelia kita mengambil masa berbulan-bulan membaca walaupun sekadar satu bab daripada tesis yang kita serahkan kepadanya.

Oleh itu, antara perkara perlu yang kita buat adalah biasakan merujuk kepada tesis-tesis yang telah lulus. Apatah lagi tesis yang telah lulus dengan cemerlang. Jangan merasa membuang masa membaca tesis-tesis yang telah lulus, walaupun bukan dalam bidang kajian kita. Jika tidak, panjanglah perjalanan kita dalam menyiapkan tesis masing-masing. Mungkin empat tahun, mungkin lima tahun, atau mungkin tidak akan siap-siap sehingga tamat tempuh pencalonan. Dengan kata lain, kita syahid dalam perjuangan tersebut.



No comments: