Monday, July 22, 2013

Ph.D - Satu Perjalanan Dalam Hidup

Al-Hamdulillah, seorang calon Ph.D iaitu Wan Anisah Endut yang mengkaji tentang perakaunan zakat saham telahpun menyiapkan draf akhir tesis beliau. Jika semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, beliau akan mempertahankan draf tesis itu pada 28 Ogos 2013, Insya Allah.

Jika beliau berjaya, Insya Allah tesis itu akan dihantar untuk diperiksa. Didoakan semoga semuanya berjalan lancar. Namun, kita sentiasa kena ingat pesanan Profesor Pengarah ISDEV, jika tesis itu lulus dan membuat kita lagi jauh dari Allah SWT, adalah lebih baik tesis itu gagal sahaja. 

Apatah lagi, dengan kelulusan itu, ia membuat kita akan menjadi seorang yang sombong dan makin jauh dari Allah SWT. Gagal adalah lebih baik. Kita lebih selamat.

Mengapakah begitu harapan kita? Hal ini disebabkan yang kita cari adalah keredhaan Allah SWT. Apa-apa yang diperoleh di dunia ini, adalah perkara yang kedua, bukan perkara utama.

Pesanan Profesor itu adalah satu peringatan ikhlas untuk kita semua, khususnya untuk penyelia sendiri. Dengan itu, kita diharap beroleh keselamatan di dunia, apatah lagi di akhirat. 

Diharapkan dapatan kajian beliau turut memberi sedikit sumbangan kepada perkembangan ilmu perakaunan zakat secara amnya, dan kepada perkembangan perakaunan zakat saham khususnya.

Turut didoakan kepada Ibu Diecy yang mengkaji tentang pengurusan dana masjid di Menado dan Bapak Mulia tentang prestasi Islamik Indeks di JII akan menyusul. Selain itu, Syed Salman sedang memperkemaskan draf tesis beliau tentang Islamic Microfinance di Pakistan. 

Mereka begitu komited dalam menyempurnakan kajian masing-masing. Semoga mereka berjaya menyerahkan tesis masing-masing sebelum 31 Disember 2013 ini, Insya Allah.



No comments: