Tuesday, April 09, 2013

Fatwa Zakat Pertanian - Padi

Berikutan dengan isu sama ada zakat padi itu dikeluarkan daripada pendapatan kasar atau pendapatan bersih, iaitu ditolak kos pengeluaran, maka fatwa berikut adalah berkaitan. Ia sesuai untuk dipakai oleh petani individu yang mengusaha padi secara komersial. Hal ini fatwa yang dikeluarkan itu tentang padi yang diusahakan secara komersial, iaitu ladang atau estet.

Mesyuarat membincang masalah berhubung dengan zakat padi dari projek penanaman padi yang diusahakan secara estet dan mengambil maklum:

(1) Akan kemajuan projek ini di mana pemilik-pemilik tanah sawah dikehendaki menyerahkan tanah mereka kepada agensi perlaksanaan untuk dimajukan manakala semua kos projek ditanggung sepenuhnya oleh agensi perlaksanaan.

(2) Akan sistem projek di mana hasil pendapatan dibahagikan dengan adil kepada pemilik-pemilik tanah berdasarkan saham atau ekonomi masing-masing setelah ditolak kos input projek.

(3) Bahawa agensi perlaksanaan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dari projek tersebut selain dari bertujuan membantu para petani untuk menambahkan pendapatan dari sawah mereka.

Jawapan:

Dengan itu mesyuarat bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

(1) Bahawa padi yang dihasilkan dari projek penanaman padi secara estet diwajibkan zakat ke atas pemilik-pemilik tanah apabila cukup nisabnya berdasarkan atas pendapatan bersih masing-masing setelah ditolak kos pengurusan projek yang dikeluarkan oleh agensi perlaksanaan.

(2) Bagi tujuan menyelaras serta memudahkan urusan pengeluaran zakat tersebut, agensi perlaksanaan boleh mengeluar zakat bagi pihak pemilik-pemilik tanah setelah mendapat persetujuan masing-masing.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Kelantan
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan

Tarikh Diisu : 1999



No comments: