Monday, April 01, 2013

E-Filing

Hari ini 1 April 2013. Pada 30 April 2013, tarikh terakhir untuk kemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan. 

Denda atau penjara atau kedua-keduanya dikenakan sesiapa yang tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan mengikut Sek 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Tidak melaporkan pendapatan sebenar pula boleh didenda sehingga RM10,000 dan 200% atas cukai terkurang nyata mengikut seksyen 113(1)(a).

Mengikut seksyen 119A, denda boleh dikenakan sehingga RM10,000 jika tidak menyimpan rekod yang ada kena mengena dengan cukai pendapatan.

Dengan e-filing, Borang Nyata Cukai Pendapatan boleh dihantar dengan amat mudah dan cepat. Ia boleh dibuat di rumah atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri sendiri.

Amat mudah - cukai di hujung jari anda.

Dengan Sistem Taksir Sendiri (STS), pembayar cukai secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan pelbagai pelepasan yang dibenarkan. Kejujuran amat diperlukan. Kesilapan yang disengajakan semasa mengisi e-filing mesti dielakkan. 

Berikut kenyataan media oleh pihak LHDN yang mutakhir tentang cukai 2012.

TARIKH AKHIR PENGEMUKAAN BORANG E SARAAN BAGI TAHUN 2012 (PENYATA OLEH MAJIKAN)

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memberikan peringatan kepada semua majikan bahawa tarikh akhir pengemukaan Borang E (Penyata Saraan bagi Tahun 2012) adalah pada 31 Mac 2013. Ini bermakna hanya ada 12 hari sahaja lagi untuk setiap majikan berbuat demikian.

Kegagalan mengemukakan borang ini pada atau sebelum 31 Mac 2013 adalah menjadi satu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh dikenakan denda minimum RM200.00 dan maksimum RM2,000.00 atau enam (6) bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Justeru, LHDNM menasihatkan agar semua majikan mengemukakan borang E 2012 dalam tempoh yang telah ditetapkan dan menggunakan perkhidmatan e-Filing kerana ianya Mudah, Tepat dan Selamat. Sila layari laman web rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my untuk keterangan lanjut.



No comments: