Sunday, March 24, 2013

Zakat Perniagaan di Malaysia

Jika diteliti, kaedah perakaunan zakat di Malaysia telah mengalami beberapa perubahan. Ia meliputi tiga tempoh masa. Pertama, perakaunan zakat perniagaan sebelum tahun 1990; kedua, bagi tempoh 1991 - 2000; dan ketiga, perakaunan zakat selepas tahun 2001.

Bagi sebelum tahun 1990, zakat perniagaan dikenakan ke atas modal berkembang, iaitu modal dicampur dengan keuntungan. Terdapat beberapa fatwa yang diputuskan tentang kaedah perakaunan zakat perniagaan tersebut. Antara lain fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis, Mufti Kerajaan Johor dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bagi tempoh 1991 - 2000, zakat perniagaan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori (Mohamed Abdul Wahab et al., 1995). Pertama, zakat perniagaan hanya dikenakan ke atas aset semasa. Kaedah perakaunan ini diamalkan di negeri Perak, Kedah dan Kelantan. Kedua, zakat perniagaan dikenakan ke atas aset semasa dicampurkan dengan keuntungan daripada pelaburan. Kaedah ini diamalkan oleh Baitulmal Perlis dan Lembaga Tabung Haji. Ketiga, zakat dikenakan ke atas keuntungan perniagaan dicampurkan dengan modal kerja. Kaedah ini diamalkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad.

Selepas tahun 2001, perakaunan zakat perniagaan hanya dibahagikan kepada dua kaedah (JAKIM, 2001; JAWHAR, 2008). Pertama, kaedah modal berkembang. Kedua, kaedah modal kerja. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya dipersetujui oleh cendekiawan zakat di Malaysia. Ia meliputi bidang Syariah, perakaunan dan profesional di beberapa bengkel dan persidangan anjuran Pusat Zakat Selangor.

Mereka terdiri daripada Dr. Zainuddin Jaafar selaku Pengerusi (ketika itu dari Kolej Islam Selangor Darul Ehsan), Dr. Abdullah Ibrahim (ketika itu dari Institut Agama Islam Negeri Kedah), Dr. Hailani Muji Tahir (ketika itu dari Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Mohd. Bakar Daud (ketika itu dari Universiti Islam Antarabangsa), Dato' Mohd. Mokhtar Safie (Ahli Majlis Syariah Selangor), Nasir Hj. Masud (ketika itu dari Kolej Islam Selangor Darul Ehsan), Mohd. Salleh Ahmad (ketika itu dari Universiti Malaya), Dr. Syed Musa al-Habshi (ketika itu dari Universiti Islam Antarabangsa), Dato' Hassan Hj. Ahmad (Mufti Pulau Pinang), Dato' Abdul Majid Omar (Timbalan Mufti Selangor) dan Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa (Universiti Kebangsaan Malaysia).

Bagaimanapun, beberapa pelarasan perlu dibuat baik yang menggunakan kaedah modal kerja ataupun kaedah modal berkembang. Antara faktor utama yang diambilkira untuk pelarasan itu ialah hak milik sempurna dan urusniaga yang dibenarkan oleh Syarak. Jika kedua-dua faktor itu tidak dipenuhi, maka ia tidak dikenakan zakat.

Dengan mengambilkira pelarasan-pelarasan yang perlu dibuat itu, maka nama lain bagi kaedah pertama ialah kaedah modal berkembang terselaras, makanala kaedah kedua pula ialah kaedah modal kerja terselaras (Zahri Hamat, 2008). Kedua-dua kaedah ini menggunakan angka-angka yang terdapat di dalam kunci kira-kira (balance sheet).

Bagi kaedah modal kerja, pelarasan itu melibatkan item-item aset semasa dan juga item-item liabiliti semasa (Syed Mohd. Ghazali Wafa, 2001).

Selain daripada pelarasan untuk item-item aset semasa dan item-item liabiliti semasa, pelarasan juga dicadangkan ke atas kadar zakat. Pelarasan ke atas kadar zakat adalah perlu sekiranya penyata kewangan disediakan berasaskan tahun Masihi. Kadar zakat yang diselaraskan ke atas zakat perniagaan ialah 2.575 peratus.

Ini disebabkan penyata kewangan perniagaan disediakan berasaskan tahun Masihi (365 hari) bukannya tahun Hijrah (354 hari). Perbezaan 11 hari itu belum dikenakan zakat. Dengan itu kadar zakat perlulah diselaraskan daripada 2.5 peratus kepada 2.575 peratus (AAOIFI, 1998). Bagaimanapun, kadar 2.575 bukan kadar yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. Kadar yang harus dipakai ialah 2.5 peratus tanpa dibuat sebarang pelarasan. Kadar ini adalah kadar yang telah ditetapkan Rasulullah s.a.w (Syed Mohd. Ghazali Wafa, 2001).

Sorotan di atas mempamerkan berlakunya pembaharuan terhadap perakaunan zakat perniagaan di Malaysia. Ia berlaku kerana perakaunan zakat perniagaan itu sendiri adalah tidak rigid. Ini kerana hanya kefardhuan zakat perniagaan yang disebut di dalam al-Qur’an. Asas perakaunan zakatnya disebut oleh Rasulullah s.a.w, iaitu zakat perniagaan dikenakan ke atas barangan perniagaan. Namun, Maimun b. Mahran, seorang tabiin kemudiannya memperkenalkan kaedah modal kerja.
Wallahu 'alam

No comments: