Wednesday, March 27, 2013

ZAKAT DI ACEH DARUSSALAM

Harta yang diwajibkan zakat di Aceh Darussalam boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah harta simpanan atau tabungan seperti emas, perak, wang, binatang ternakan. Kategori kedua ialah harta pendapatan atau penghasilan seperti keuntungan dari perniagaan dan perindustrian, hasil dari pertanian serta hasil perlombongan (Qanun No.7 Tahun 2004, Fasal 26). Harta-harta yang diwajibkan zakat, selain dari kedua-dua kategori itu akan ditetapkan dengan keputusan kuasa Majelis Permusyuaratan Ulama (MPU). 

Nisab dan kadar zakatnya pula ditentukan oleh Dewan Syariah. Secara amnya, nisab harta yang diwajibkan zakat ialah sebanyak 94 gram emas dan kadar zakatnya pula ialah 2.5 peratus. Ia meliputi emas, perak, wang, keuntungan dari perniagaan dan perindustrian, serta hasil dari perlombongan. Nisab hasil dari pertanian ialah 5 wasq, manakala kadar zakatnya ialah 5 peratus jika ia diusahakan secara intensif modal, dan 10 peratus jika diusahakan secara tradisional. Nisab bagi kambing ialah 40 ekor dan lembu ialah 30 ekor, manaka kadar zakatnya ialah masing-masing seekor untuk setahun. Hanya harta rikaz dikenakan zakat pada kadar 20 peratus dari pendapatan yang diperoleh. 

Kepelbagaian nisab harta wajib zakat ini telahpun dikaji oleh beberapa ulamak terdahulu. Ia dapat dirumuskan bahawa daripada segi nilainya, nisab untuk pelbagai jenis harta itu adalah hampir sama. Pada zaman Rasulullah s.a.w, sekiranya seseorang memiliki 5 ekor unta atau 40 ekor kambing atau 5 wasq hasil pertanian, maka ia sudah dikira sebagai golongan yang berkemampuan (Mujaini Tarimin, 1999). 

Ukuran kaya atau miskin boleh dipengaruhi oleh suasana ekonomi semasa. Khalifah Umar al-Khattab tidak mengenakan zakat kepada pemilik kambing yang mempunyai ternakan sebanyak 100 ekor. Malah beliau memberikan agihan zakat. Menurut Abu Ubayd (1991: 466 - 467), ia dilakukan kerana pada waktu itu rakyat menghadapi krisis ekonomi yang amat hebat. Dilaporkan Umar berkata yang bermaksud, “Berikanlah zakat kepada sesiapa yang pada tahun ini mempunyai seratus ekor kambing, dan jangan diberikan zakat kepada sesiapa yang pada tahun ini mempunyai dua ratus ekor kambing.” (Abu Ubayd, 1991: 466). Mereka adalah merupakan golongan kaya, dengan itu zakat diwajibkan ke atas mereka.



No comments: