Thursday, March 14, 2013

Taksiran Zakat Pertanian Komersial

Terlalu lama saya tidak berkongsi pandangan. Agak kesibukan sedikit di ofis. Saya luangkan banyak masa kepada pelajar-pelajar Ph.D yang bercadang untuk menyiapkan tesis masing-masing pada tahun 2013 ini. Yang berhajat ada enam orang. Namun, jika empat orang dapat menyiapkan tesis masing-masing pun saya amat berpuashati.

Seorang pelajar sedang membuat kajian tentang taksiran zakat pertanian komersial. Beliau sedang menyiapkan bab kedua. Masa agak lama untuk beliau menyiapkan kerangka konseptual. Kami sama-sama fikirkan untuk menyelesaikannya.

Kebetulan pada 19 November 2012, saya berpeluang menyampaikan satu kuliah umum di Program Pascasarjana di Institut Agama Islam Negeri ar-Raniry, Aceh. Al-Hamdulillah, dari situ, kerangka konseptual kajian beliau dapat disiapkan.

Pada dasarnya ialah, taksiran zakat pertanian tradisional, padi misalnya, adalah berasaskan pendapatan daripada pertanian. Kadarnya sama adalah 5% atau 10% tertakluk kepada punca air yang digunakan. Bagi zakat pertanian komersial, iaitu pertanian yang tidak disepakati seperti getah dan kelapa sawit adalah berasaskan modal kerja. Dengan kata lain, ia dikenakan zakat perniagaan. Kadarnya pula adalah 2.5%.

Namun, terdapat dalam kalangan cendekiawan di Malaysia berpendapat, taksiran zakat perniagaan boleh juga dikenakan berdasarkan pendapatan ataupun keuntungan. Ia merupakan satu kaedah alternatif. Justeru, zakat pertanian komersial boleh dikenakan ke atas pendapatan pertanian tersebut.

Dengan itu, dapat dirumuskan, taksiran zakat pertanian, baik pertanian tradisonal ataupun pertanian komersial, taksiran zakatnya adalah berdasarkan pendapatan yang diperoleh daripada pertanian tersebut. Kadarnya pula adalah 5% atau 10% tertakluk kepada sumber air yang digunakan. Jika sumber air berbayar, maka kadarnya 5%, manakala jika sumber airnya percuma, maka kadarnya 10%. Wallahu 'alam.


No comments: