Monday, March 18, 2013

Belanja Sara Hidup

Hasil pertanian dikenakan zakat ke atas pendapatan kasar. Semua belanja untuk pertanian tidak ditolak daripada pendapatan kasar. Hal ini membebankan petani, terutama penanam padi yang sering dilanda banjir yang menjejaskan hasil yang dapat dituai.

Kadang kala para penanam padi tidak mampu meneruskan usaha mereka disebabkan hasil yang diterima tidak mampu menanggung kos-kos lain khususnya kos untuk pembajakan. Justeru, berhutang tidak dapat dielakkan.

Ini berbeza dengan zakat pendapatan.Semasa membuat taksiran zakat pendapatan, semua pendapatan yang diterima untuk satu tahun dibenarkan ditolak bagi belanja-belanja berikut.
Pertama, keperluan asasi, iaitu keperluan keluarga yang asas seperti perlindungan (rumah), makanan, pakaian dan seumpamanya.

Kedua, belanja-belanja lain yang dibenarkan seperti keperluan diri sendiri, belanja isteri dan anak-anak, ibu bapa dan tanggungan lain seperti adik-beradik, anak angkat, orang gaji dan seumpamanya.

Ketiga, simpanan di institusi yang telah membayar zakat. Zakat tidak dikenakan lebih dari sekali terhadap sesuatu harta. Oleh itu, simpanan di Lembaga Tabung Haji misalnya, hendaklah ditolak daripada pendapatan. LTH telah membayar zakat bagi pihak penyimpan.

Keempat, caruman wajib seperti caruman dalam KWSP turut dibenarkan ditolak. Caruman itu dibenarkan kerana pencarum tidak mempunyai milik sempurna ke atas caruman tersebut.

Persoalannya, mengapakah semua input pertanian tidak dibenarkan ditolak daripada hasil kasar, sedangakan taksiran zakat pendapatan dibenarkan ditolak kos sara hidup?

No comments: