Wednesday, March 20, 2013

Bantuan Modal Perniagaan

Pengagihan zakat boleh dibuat dalam dua bentuk. Pertama, dalam bentuk sara diri. Kedua, dalam bentuk produktif. Bantuan modal perniagaan adalah antara agihan zakat dalam bentuk produktif.
 
Persoalannya, mengapakah pada ketika ini digalakkan sebahagian agihan zakat dibuat dalam bentuk produktif.
 
Sedangkan agihan dalam bentuk produktif, khususnya bantuan modal perniagaan melibatkan jumlah yang banyak. Hal ini adalah antara lain kerana masalahah ammah.
 
Apatah lagi modal diberikan dalam bentuk pembiayaan mikro. Pengagihan zakat melalui pembiayaan mikro ini adalah tidak bertentangan dengan konsep maslahah ammah yang ingin dicapai, malah tidak akan merosak maslahah individu asnaf zakat lain.
 
Mengikut Dr Muhammad Yasir Yusof, Timbalan Dekan Fakulti Syariah, IAIN ar-Raniry, Aceh, hal ini kerana .pembiayaan mikro yang telah diberikan itu sebenarnya akan dikembalikan semula oleh asnaf kepada institusi zakat untuk disalurkan kembali kepada asnaf zakat lainnya. Dr. Muhammad Yasir Yusof berhujjah:
 
“Berdasarkan kriteria maslahah Al-Syatibi, pembiayaan mikro daripada dana zakat ini telah memenuhi kriteria tersebut. Dengan adanya pembiayaan mikro daripada dana zakat ini, umat Islam tidak akan terjebak dengan urusniaga riba dan akhirnya objektif zakat, iaitu membasmi kemiskinan akan tercapai. Ini selari dengan asas maqasid Syariah, iaitu menarik kebaikan dan menolak kerosakan. Ertinya Maqasid Syariah seperti menjaga agama, jiwa dan kemuliaan tercapai dengan baik. Hal ini lebih bermanfaat berbanding mengagihkan zakat dalam bentuk sara diri kepada asnaf zakat yang mengakibatkan wujudnya kebergantungan mereka pada pengagihan zakat berikutnya, sehingga asnaf zakat tidak akan pernah keluar dari jurang kemiskinan”.

No comments: