Saturday, November 24, 2012

AGIHAN ZAKAT PRODUKTIF MELALUI PEMBIAYAAN MIKRO


 
 

Bantuan modal perniagaan oleh institusi zakat di Malaysia diberikan secara percuma. Persoalannya, bolehkah modal perniagaan daripada dana zakat diagihkan kepada usahawan asnaf secara pembiayaan mikro? Hal ini kerana para ulama selalunya akan merujuk kepada lafaz li dan fi semasa Allah SWT menyebut golongan yang berhak menerima dana zakat. Lafaz li digunakan untuk asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf. Lafaz fi pula disebut sebanyak dua kali. Pertama adalah untuk hamba dan orang yang berhutang. Kedua adalah fi sabilillah dan ibn sabil.

Menurut Hasanah Abd Khafidz (2006)[1][1], dalam ayat ini penggunaan lafaz li menunjukkan Allah SWT menyatakan pemilikan harta zakat adalah hak mutlak golongan fakir, miskin, amil dan muallaf. Golongan ini mempunyai kebebasan untuk menggunakan harta yang diterima mengikut kehendak masing-masing. Penggunaan fi dalam pengagihan zakat kepada golongan hamba, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil pula, kebanyakan ulama menyatakan ia adalah berkaitan dengan kemaslahatan. Mereka sama sekali tidak mempunyai hak peribadi terhadap harta tersebut.[2]

Dalam membahaskan tentang bantuan modal perniagaan, Imam Al-Nawawi (1996) membuat dua rumusan. Pertama, modal perniagaan boleh disediakan dalam bentuk tunai ataupun peralatan sesuai dengan kemahiran masing-masing. Peralatan pertukangan mislanya disediakan kepada tukang kayu dan modal perniagaan disediakan kepada peniaga atau pedagang. Kedua, amaun modal perniagaan diagihkan sesuai dengan bidang perniagaan yang diceburi. Peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan misalnya sebanyak lima hingga dua puluh dinar. Peniaga minyak wangi sebanyak satu ribu dinar, penjual pakaian sebanyak dua ribu dinar, pengurup wang sebanyak lima ribu dinar dan perniagaan intan berlian sebanyak sepuluh ribu dinar.

Imam al-Nawawi tidak menyebut sama ada bantuan modal perniagaan itu boleh diberi secara pembiayaan mikro. Dalam hal ini, Muhammad Rashid Rida (1931) menyebut bahawa pemerintah wajar meletakkan asas maslahah sebagai dasar utama dalam mengagihkan zakat kepada asnaf dan amaun dana yang akan diagihkan. Dengan itu, pemerintah harus mengambil kira maqasid Syariah dalam menentukan kaedah agihan dana zakat yang dilaksanakan. Maqasid Syariah dari segi bahasa bermaksud tujuan syariat atau objektif syarak. Manakala dari segi syarak maqasid Syariah bermaksud matlamat syarak dan rahsia yang diletakkan oleh Allah SWT sebagai pembuat undang-undang bagi setiap hukum (Wahbah al-Zuhayli, 1998). 

Maslahah menurut Al-Syatibi (2006) boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.[3][3] Pertama, maslahah daruriyah, kedua, maslahah hajiyah dan ketiga, maslahah tahsiniyah. Maslahah daruriyah ialah segala apek yang bersifat kemestian dalam kehidupan manusia dan oleh itu ia wajib ada sebagai syarat mutlak dalam kehidupan dan kemaslahatan manusia. Maslahah hajiyah ialah segala yang menjadi keperluan dalam kehidupan supaya kehidupan mereka bahagia dan sejahtera serta terhindar daripada kemelaratan. Maslahah tahsiniyah ialah suatu keperluan dalam kehidupan yang sifatnya sebagai pelengkap dan menyempurnakan kesejahteraan kehidupan manusia. Ketiga-tiga peringkat maslahah ini saling melengkap antara satu sama lain.

Pembiayaan mikro daripada dana zakat tergolong dalam masalah ijtihadi. Ia berkait rapat dengan perubahan sosial. Oleh itu, maslahah ammah adalah berbeza mengikut perbezaan masyarakat. Ini sesuai dengan sifat sejagat Syariat Islam itu sendiri. Asas yang diguna pakai oleh para ulama dalam menentukan mekanisme ini ialah maqasid Syariah. Oleh kerana pembiayaan mikro melalui dana zakat ini memberi kebaikan kepada masyarakat setempat, maka ia boleh dilaksanakan (Armiadi Musa Basyah, 2008).

Pengagihan zakat melalui pembiayaan mikro tidak bertentangan dengan konsep maslahah ammah yang ingin dicapai, malah tidak akan merosak maslahah individu asnaf zakat lain. Modal pembiayaan mikro yang telah diberikan akan dikembalikan semula oleh asnaf kepada institusi zakat untuk disalurkan kembali kepada asnaf zakat lainnya.[4][4] Muhammad Yasir Yusof (2010) berhujjah seperti berikut:.   

“Berdasarkan kriteria maslahah Al-Syatibi, pembiayaan mikro daripada dana zakat ini telah memenuhi kriteria tersebut. Dengan adanya pembiayaan mikro daripada dana zakat ini, umat Islam tidak akan terjebak dengan urusniaga riba dan akhirnya objektif zakat, iaitu membasmi kemiskinan akan tercapai. Ini selari dengan asas maqasid Syariah, iaitu menarik kebaikan dan menolak kerosakan. Ertinya Maqasid Syariah seperti menjaga agama, jiwa dan kemuliaan tercapai dengan baik. Hal ini lebih bermanfaat berbanding mengagihkan zakat dalam bentuk sara diri kepada asnaf zakat yang mengakibatkan wujudnya kebergantungan mereka pada pengagihan zakat berikutnya, sehingga asnaf zakat tidak akan pernah keluar dari jurang kemiskinan”.  

Oleh sebab itu, menolak mafsadah adalah wajib demi mendatangkan kemaslahatan. Prinsip ini menggambarkan bagaimana Islam sangat prihatin terhadap kepentingan awam berbanding kepentingan individu. Hal ini memberikan petunjuk penting dalam membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi perubahan-perubahan signifikan yang terjadi dalam kehidupan sosial masyarakat. Terutamanya ketika tiada nas al- Qur’an dan al- Sunnah yang menjelaskan secara terperinci. 

Hal ini disokong oleh Al-Yasa’ Abu Bakar, Ketua Dewan Ulama Aceh Darussalam. Beliau menimbulkan al-Quran dan Hadis boleh difahami secara bahasa ataupun illah. Menurut beliau, yang utama ialah mana yang lebih maslahah sama ada diberikan terus atau secara pembiayaan mikro Beliau berhujah seperti berikut:

“Al-Quran dan Hadis itu boleh difahami secara lughawiyah dan boleh secara illah Boleh juga difahami berdasarkan pertimbangan maslahah. Jadi kalau saya, ini lihat saja mana yang lebih maslahah, iaiu mana yang paling masalah. Apakah dengan pembiayaan mikro itu yang lebih maslahah atau bahagikan terus sebagai modal itu yang lebih maslahah atau dibahagikan habis untuk sara diri? Hal ini kerana memang keperluannya seperti itu.”

Antara ulama kontemporari menyokong kaedah ini ialah Yusuf al-Qaradawi (1993). Beliau memakai kaedah qiyas membayar hutang golongan yang berhutang. Menurut beliau, satu dana khas diwujudkan untuk melaksanakan pembiayaan mikro ini. Beliau turut menyebutkan pendapat ulama terdahulu. Abu Zahrah, ‘Ab. Wahab Khallaf dan ‘Ab. Rahman Hasan misalnya menyatakan, kalaulah zakat boleh digunakan untuk membayar hutang, maka lebih-lebih lagi ia boleh digunakan untuk memberi hutang.[5]

 

 


[1] Menurut Hasanah Abd Khafidz (2006), Lafaz li ini berasal daripada huruf lam yang tergolong dalam huruf lam al-idafah iaitu lam yang digunakan bagi menyandarkan sesuatu kepada pemiliknya atau menisbahkan sesuatu yang boleh dimiliki kepada orang yang berhak memilikinya. Antara lam al-idafah ialah lam al-mulk iaitu pemilikan dan lam al-tamlik iaitu pindahan hak milik. Manakala Lafaz fi pula tergolong dalam al-hurf iaitu perkataan yang tidak menunjukkan apa-apa makna jika bersendirian. Ia akan memberikan makna jika diletakkan dengan perkataan lain dalam susunan ayat. 
[2]Menurut Mujaini Tarimin (2005), walaupun golongan fakir, miskin, amil dan muallaf mempunyai hak mutlak terhadap pemilikan harta zakat, tetapi kaedah perpindahan hak milik itu boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Hal ini kerana antara tujuan zakat ialah untuk pembangunan asnaf zakat sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan kerohanian. Nabi Muhammad S.A.W memberi perhatian yang serius terhadap isu kemiskinan. Baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa zakat perlu dibelanjakan untuk membantu golongan miskin (Yusuf al-Qaradawi, 1991).
[3] Al-Syatibi (2006) mengatakan tujuan syariat berhubung dengan manusia ada lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Setiap perkara yang bertujuan memelihara asas yang lima ini adalah maslahah iaitu kebaikan dan setiap perkara yang meninggalkan asas-asas ini adalah mafsadah iaitu kerosakan. Menurut al-Syatibi (2006), prinsip-prinsip Maqasid Syariah ialah menyuruh mendapatkan kebaikan dan menjauhkan daripada mendatangkan kerosakan. Oleh itu maslahah tidak boleh diabaikan dan mafsadah tidak harus dihampiri.   
[4] Walau bagaimanapun terdapat beberapa hal ulama klasik dan ulama kontemporari berbeza pendapat tentang pengagihan zakat (Armiadi Musa Basyah, 2008). Ulama klasik misalnya berpendapat bahawa zakat mestilah diagihkan dalam bentuk aqad al-tamlik. Dengan itu, harta zakat yang diterima adalah hak milik mutlak penerima zakat. Ulama kontemporari pula berpendapat sebaliknya. Mereka mengatakan bahawa pengagihan zakat tidak semestinya dalam bentuk aqad al-tamlik. Ia boleh disesuaikan dengan keperluan semasa dan keadaan semasa.
[5] Yusuf al-Qaradawi (1993) turut memetik pendapat daripada Muhammad Hamidullah yang menyatakan, al-Quran menyebut orang berhutang sebagai satu golongan yang boleh menerima zakat. Mereka terdiri daripada pertama ialah orang yang tidak mampu membayar hutang karena miskin, dan kedua ialah orang yang perlu berhutang sama ada untuk dirinya ataupun masyarakat.
 
 
 

3 comments:

Nurbani Md Hassan said...

Salam Dr,

Dana zakat diberi dalam bentuk pembiayaan mikro dalam bentuk modal dan diminta dibayar kembali,supaya asnaf lain dapat menikmatinya. Wang yang dikembalikan sebagai bayaran balik itu dipanggil apa? Adakah wajar dikategorikan sebagai wang zakat dan dicampurkan dengan dana zakat yang ada? kerana kita tahu, zakat ialah perkongsian harta daripada yang kaya kepada yang miskin. Jadi jika wang zakat itu digunakan oleh asnaf, kemudian dikembalikan, adakah ianya masih dalam kategori dana zakat? Apa pandangan Dr?

yusri shamsuri said...

Saya pernah memohon bantuan niaga untuk peralatan, jawapan diberi berbunyi ini( encik perlu berniaga dahulu baru kami boleh Bantu ) jawapan bodoh!!! kalau saya boleh berniaga tak payahla saya susah2 nak minta bantuan alatan niaga , sbb saya mampu beli.. kesimpulanya cara apa yg baitulmal nk bantu yg betul2 mahu bantuan ???

Stupid!

Annissa Nor said...

Akhirnya kita telah beroleh seorang pemberi pinjaman pinjaman sebenar di internet, mereka dipercayai dan boleh dipercayai, i begitu gembira ketika saya mendapat pinjaman saya daripada pinjaman DLF. i telah scammed banyak kali, saya telah digunakan untuk hampir semua firma pinjaman dalam laman web ini dan memohon untuk pembayaran, selepas membayar i tidak akan mendapatkan pinjaman saya, mereka akan berhenti menghubungi saya, saya begitu banyak berhutang, i hampir kehilangan hidup saya kerana saya telah kehilangan lebih 48 juta dan saya tidak mendapat apa-apa pinjaman, saya mengikuti semua prosedur dan masih saya tidak mendapatkan pinjaman daripada mereka. anda mesti berhati-hati di laman web tertentu ini, tidak semua firma dan kesaksian di sini adalah benar, anda perlu berhati-hati. pinjaman DLF adalah yang terbesar pemaju hartanah komersial, dan mereka telah mendaftar untuk memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan pinjaman, i terkejut ketika saya mendapat pinjaman saya dari DLF tanpa tekanan, saya hanya mengikut prosedur dan saya mendapat pinjaman saya dalam 2 hari. jika anda memerlukan pinjaman, saya akan menasihatkan anda cuba pinjaman DLF dan saya memberikan anda jaminan bahawa anda akan mendapat pinjaman anda demi Allah, Amin
hubungan mereka adalah info.dlfloans@gmail.com

anda masih boleh sampai ke emel saya jika anda mempunyai soalan, annisaanor111@gmail.com