Thursday, August 11, 2011

Kewajiban Berzakat

ZAKAT boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu zakat fitrah, iaitu kefarduan zakat terhadap diri setiap orang Islam. Kategori kedua ialah zakat harta, iaitu kefarduan zakat terhadap kekayaan yang dimiliki orang Islam.

Objektif utama kefarduan zakat fitrah ialah untuk menyucikan orang berpuasa daripada perbuatan tidak elok dan tidak berfaedah ketika mereka berpuasa serta untuk membantu golongan fakir dan miskin.

Ibn Abbas melaporkan yang bermaksud: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah bagi tujuan menyucikan orang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir dan miskin." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Objektif utama kefarduan zakat harta pula ialah untuk membersih serta menyucikan kekayaan dan akhlak orang Islam. Allah berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat dari sebahagian harta (amwal) mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan mendoakan untuk mereka." (Surah al-Taubah, ayat 103)

Persoalannya, apakah kekayaan yang diwajibkan zakat dan bagaimanakah kaedah perakaunan zakatnya? Bilakah pula masa paling sesuai untuk menunaikan zakat ke atas kekayaan itu supaya rebat dan potongan zakat yang dibenarkan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menunaikan kewajipan itu?

Di Malaysia, antara kekayaan yang diwajibkan zakat ialah penggajian dan upahan, hasil pertanian, wang simpanan, aset perniagaan, binatang ternakan, emas dan perak, saham serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelbagai kekayaan itu sebenarnya boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah zakat dikenakan ke atas pendapatan diperoleh seperti pendapatan daripada penggajian dan upahan serta pendapatan hasil pertanian.

Kategori kedua ialah zakat dikenakan ke atas kekayaan itu sendiri. Ia meliputi wang simpanan, aset perniagaan, binatang ternakan, emas dan perak, saham serta zakat KWSP.

Perakaunan zakat pendapatan misalnya ialah dengan menjumlahkan semua sumber pendapatan tahunan kemudian menolak belanja dibenarkan. Belanja itu meliputi belanja untuk diri sendiri dan isteri berjumlah RM8,000, anak di institusi pengajian tinggi RM4,000 seorang dan untuk anak sama ada masih bersekolah atau tidak sebanyak RM1,000 seorang, nafkah sebenar untuk ibu bapa, caruman KWSP dan simpanan di Lembaga Tabung Haji, kemudian zakat dikenakan pada kadar 2.5 peratus ke atas baki bersih pendapatan.

Perakaunan zakat pertanian juga sama seperti perakaunan zakat pendapatan. Sumber pendapatan pertanian dikira berdasarkan harga jualan. Misalnya hasil jualan padi ditolak kos pengeluaran yang dibenarkan meliputi kos baja dan racun, bayaran sewa dan upah kerja serta pengangkutan.

Zakat dikenakan pada kadar 10 peratus daripada pendapatan bersih. Subsidi padi yang diterima daripada kerajaan dikategorikan sebagai harta perolehan (al-mal al-mustafad) oleh itu ia dikenakan zakat pada kadar 2.5 peratus.

Zakat wang simpanan dikira berdasarkan baki terendah bagi tempoh satu tahun hijrah. Untuk menentukan baki terendah, semua akaun simpanan yang dimiliki perlu disatukan. Dengan kata lain, walaupun pendeposit mempunyai beberapa akaun simpanan, pada hakikatnya pendeposit mempunyai satu akaun simpanan saja.

Jika simpanan dalam salah satu akaun sudah mencukupi nisab (had minimum sesuatu kekayaan diwajibkan zakat), maka simpanan dalam akaun lain (walaupun kurang nisabnya) adalah diwajibkan zakat. Kadar zakat simpanan ialah 2.5 peratus.

Perakaunan zakat perniagaan dikira berdasarkan modal kerja terselaras, iaitu aset semasa ditolak dengan liabiliti semasa selepas beberapa pelarasan dibuat pada akhir haul. Aset semasa yang dikenakan zakat meliputi stok barang niaga, penghutang perniagaan bersih, pelaburan jangka pendek, deposit dan wang tunai.

Liabiliti semasa yang dibenarkan ditolak meliputi pemiutang perniagaan, belanja operasi terkumpul, peruntukan cukai semasa dan liabiliti perniagaan lain. Pelarasan yang perlu dibuat ialah pertama, menolak hasil daripada sumber haram dan penerimaan seperti dividen yang sudah dikenakan zakat.

Kedua, mencampur balik pembelian aset tetap yang dibuat pada suku tahun keempat dan pembahagian keuntungan seperti dividen, elaun lembaga pengarah dan ambilan tunai. Zakat dikenakan pada kadar 2.5 peratus ke atas modal kerja bersih terselaras.

Zakat emas dan perak yang disimpan dikenakan pada kadar 2.5 peratus daripada nilai semasa. Untuk emas dan perak yang dijadikan perhiasan, zakat dikenakan 2.5 peratus ke atas lebihan daripada uruf iaitu jumlah kebiasaan yang dipakai oleh wanita Muslim sebagai perhiasan.

Perakaunan zakat saham dikira berdasarkan dua kaedah. Jika pemegang saham melabur bagi tujuan mendapat dividen setiap tahun, maka zakat dikenakan ke atas dividen saja. Jika sijil saham dimiliki untuk tujuan perniagaan, maka dikenakan ke atas nilai pasaran saham yang dimiliki pada akhir haul bersama dengan keuntungan diperoleh daripada aktiviti jual beli saham. Zakat dikenakan pada kadar 2.5 peratus.

Di Malaysia, binatang ternakan yang diwajibkan zakat adalah lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Perakaunan zakatnya berbeza mengikut jenis binatang ternakan. Zakat dikenakan berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW mengikut jenis ternakan.

Contohnya, bilangan lembu dan kerbau yang diternak antara 30 sehingga 39 ekor, maka zakatnya dikenakan ialah seekor lembu atau kerbau jantan berumur satu tahun lebih. Bagi kambing dan biri-biri sebanyak 40 sehingga 120 ekor, zakatnya dikenakan ialah seekor kambing atau biri-biri jantan berumur satu tahun lebih atau seekor kambing atau biri-biri betina berumur dua tahun.

Zakat KWSP dikenakan setiap kali pengeluaran dibuat ke atas simpanan KWSP sama ada sebab bersara ataupun tujuan lain sebelum bersara. Kadar zakat KWSP ialah sebanyak 2.5 peratus.

Perakaunan zakat ke atas pelbagai kekayaan yang disebut ini adalah secara umum saja. Perakaunan zakat yang terperinci bagi setiap jenis kekayaan disebutkan itu bolehlah dirujuk kepada institusi zakat di negeri masing-masing.

Zakat terhadap kekayaan ini pula ditunaikan melalui dua kaedah. Kaedah pertama ialah ketika pendapatan itu diperoleh. Ini selaras firman Allah yang bermaksud: "Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila ia berbuah dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya." (Surah al-An'am, ayat 141)

Kaedah kedua ialah ketika kekayaan itu cukup haul (harta perlu berada di tangan pemiliknya bagi tempoh satu tahun hijrah). Dengan itu, tiada masa khusus bilakah zakat perlu ditunaikan, tetapi ia ditunaikan apabila cukup haulnya.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan rebat zakat pendapatan bagi 2011 seperti diperuntukkan di bawah seksyen 6A(3), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, maka zakat perlu ditunaikan sebelum atau pada 31 Disember 2008 ini. Jika zakat itu ditunaikan selepas 31 Disember 2011, maka rebat zakat tidak boleh dituntut untuk tahun 2011.

Begitu juga dengan zakat perniagaan. Zakat perlulah ditunaikan sebelum atau pada 31 Disember 2011 untuk membolehkan mereka mendapat potongan bagi zakat perniagaan pada tahun ini. Potongan zakat ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 44(11A), ACP 1967.

Zakat harta ini sebenarnya boleh ditunaikan walaupun ia belum tiba tempoh masa diwajibkan. Hal ini bersandarkan sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib yang bermaksud: "Ibn Abbas meminta Rasulullah SAW membenarkan beliau membayar terdahulu zakatnya. Nabi kemudian membenarkan beliau berbuat sedemikian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa zakat diwajibkan ke atas pendapatan yang diperoleh dan kekayaan dimiliki oleh seseorang Islam. Secara umumnya, zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan bersih pada kadar 2.5, 5 atau 10 peratus, manakala zakat kekayaan dikenakan ke atas nilai kekayaan yang dimiliki pada kadar 2.5 peratus.

No comments: