Wednesday, September 29, 2010

ZAKAT PENDAPATAN DI MALAYSIA

Di Malaysia, takrif zakat di setiap negeri agak berbeza. Namun secara umumnya takrif itu mempunyai maksud yang hampir sama. Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka misalnya memberi takrif zakat sebagai sepersepuluh (tithe) daripada harta tertentu. Terengganu dan Sabah pula memberi takrif zakat sebagai harta benda yang wajib dibayar oleh orang Islam. Kedah, Perak, Perlis dan Sarawak memberi takrif zakat sebagai satu pemberian yang wajib dikeluarkan. Kelantan dan Pahang memberi takrif zakat sebagai sebahagian daripada hasil padi, binatang ternakan, barang-barang perniagaan, emas dan perak. Negeri Johor tidak memberi sebarang takrif zakat di dalam enakmennya (MAIWP, 2006).

Namun secara umumnya, harta-harta yang diwajibkan zakat adalah padi, emas, perak, wang tunai, binatang ternakan, barang-barang perniagaan, harta galian dan rikaz. Namun pada waktu yang sama, turut disebut harta-harta lain yang tidak khusus. Misalnya Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 menyebut harta wajib zakat ialah padi, emas, perak, wang tunai, binatang ternakan, barang-barang perniagaan, harta galian, rikaz dan lain-lain.

Bersesuaian dengan perkembangan pelbagai bentuk harta semasa, usaha-usaha untuk memperluaskan harta wajib zakat turut diambil oleh pihak berkuasa agama negeri. Majlis Agama Islam Negeri melalui Jawatankuasa Fatwa Negeri telah mewajibkan zakat ke atas pendapatan.

Menurut Majlis Agama Islam Kelantan, pendapatan meliputi gaji, elaun, ganjaran, pampasan atau pendapatan pindahan atau yang diperoleh melalui kerjaya yang bercorak profesional, kepakaran atau kemahiran (Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, 1999). Majlis Agama Islam Negeri lain turut mengambil tindakan sedemikian. Majlis Agama Islam Negeri Perak misalnya berpendapat zakat wajib dikenakan ke atas pendapatan (al-Mal al-Mustafad) (Jawatankuasa Syariah Negeri Perak, 1990). Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali Ke-31 yang bersidang pada 9 Disember 1992 dan kemudian Muzakarah (khas) Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 Jun 1997 turut mewajibkan zakat ke atas pendapatan.

Secara umumnya, pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan penggajian dan pendapatan bebas. Pendapatan penggajian merupakan ganjaran perkhidmatan seseorang dengan majikan yang meliputi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun dan pendapatan lain-lain yang berkaitan dengan penggajian. Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran yang merupakan ganjaran daripada perkhidmatannya. Pendapatan tersebut meliputi khidmat guaman, khidmat nasihat, perundingan, rawatan perubatan, kejuruteraan, seniman dan lain-lain (JAWHAR, 2008).

Paling tidak terdapat tiga kaedah perakaunan zakat pendapatan. Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Selangor misalnya memutuskan kaedah tersebut ialah pertama, berasaskan pendapatan kasar tanpa sebarang tolakan keperluan asas. Kedua, berasaskan pendapatan bersih selepas tolakan keperluan asas yang dibenarkan. Ketiga, berasaskan pendapatan bersih selepas tolakan perlanjaan asas sebenar yang dilakukan.

Dengan kata lain, kaedah pertama ialah dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan dan dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus sebagai zakat. Kaedah kedua ialah dikira daripada jumlah pendapatan ditolak keperluan asas yang dibenarkan, iaitu diri sendiri RM8,000, isteri RM3,000, anak-anak RM1,000 seorang, pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP, caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan caruman ke dalam mana-mana institusi yang mengeluarkan zakat kepada pencarum seperti takaful. Setelah itu barulah zakat dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus. Kaedah ketiga ialah dikira daripada jumlah pendapatan ditolak jumlah sebenar perbelanjaan keperluan asas, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan. Kemudian zakat dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus.

Kaedah pertama adalah agak membebankan kerana ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang. Kaedah ketiga tidak digalakkan kerana seseorang itu boleh jadi terlepas daripada menunaikan zakat pendapatan, walhal pada masa yang sama dia mampu menjalani hidup yang mewah, misalnya memiliki kereta besar dengan rumah yang besar.
Kaedah kedua adalah paling baik kerana ia tidak terlalu ringan dan tidak terlalu membebankan sehingga menyebabkan seseorang itu terlepas dari menunaikan zakat pendapatan. Kaedah kedua inilah yang diamalkan di negara ini. Keperluan asas bermaksud perbelanjaan daruriyah, iaitu perbelanjaan keperluan asasi harian berasaskan perbelanjaan masa kini. Namun ia mungkin berbeza mengikut keadaan ekonomi tempatan.

Di negeri Kelantan misalnya, kadar perbelanjaan daruriyah yang ditetapkan mestilah yang paling sederhana bagi satu tahun. Kadar ini meliputi diri sendiri dan keluarga di bawah tanggungan, iaitu perbelanjaan diri sebanyak RM5,000, perbelanjaan isteri sebanyak RM3,000 dan perbelanjaan anak-anak sebanyak RM2,000. Kadar ini hanyalah sebagai panduan umum sahaja kerana kadar sebenar perbelanjaan daruriyah bergantung kepada bilangan tanggungan dan perbelanjaan daruriyah lain seperti perbelanjaan pelajaran dan sebagainya (Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, 1999). Jabatan Zakat Selangor membenarkan perbelanjaan diri sebanyak RM8,000, manakala perbelanjaan anak-anak sebanyak RM1,000 seorang.

Secara umumnya perbelanjaan daruriyah adalah meliputi diri sendiri, isteri, anak-anak, ibu bapa dan tanggungjawab lain seperti adik beradik, jiran dan musafir. Selain itu perbelanjaan ini juga meliputi caruman wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kadar zakatnya ialah 2.5 peratus ke atas baki bersih pendapatan (JAWHAR, 2008).

No comments: