Tuesday, August 31, 2010

ZAKAT DAN CUKAI DI MALAYSIA

Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil beberapa tindakan dalam membantu pihak berkuasa agama negeri tentang hal ehwal Islam. Ia termasuklah dalam pengurusan dan perakaunan zakat. Antara tindakan itu ialah menerbitkan sebuah buku berjudul Panduan Zakat di Malaysia pada tahun 2001. Pakar-pakar dalam bidang syariah, perakaunan dan golongan profesional terlibat secara langsung untuk menerbitkan buku panduan zakat ini.

Dalam buku tersebut dibincangkan pelbagai harta yang diwajibkan zakat. Ia boleh dibahagikan kepada enam kategori. Pertama ialah emas dan perak; kedua ialah perniagaan; ketiga ialah binatang ternakan; keempat ialah hasil pertanian; kelima ialah wang; keenam ialah hasil galian; ketujuh ialah saham dan bon; dan kelapan ialah pendapatan (JAKIM, 2001). Buku ini telah diterbitkan semula oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada tahun 2008 dengan judul Manual Pengurusan Pengiraan Zakat.

Daripada pelbagai kategori itu, pungutan zakat pendapatan dan perniagaan adalah yang tertinggi di Malaysia (MAIWP, 2006). Bagi tahun 2005 misalnya pungutan zakat pendapatan dan perniagaan adalah sebanyak 73 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat sebanyak RM411.11 juta. Ia terdiri dari 52 peratus untuk zakat pendapatan dan 21 peratus untuk zakat perniagaan (MAIWP, 2006). Zakat pendapatan kenakan ke atas individu Muslim, manakala zakat perniagaan dikenakan ke atas syarikat yang dimiliki oleh individu Muslim dan individu Muslim yang menjalankan perniagaan.

Tindakan menyelaraskan antara zakat dan cukai turut dilakukan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Beberapa seksyen dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 telah ditambah, antaranya ialah seksyen 6A(2), (3) dan (4) serta seksyen 44(11A). Manakala sumber pendapatan yang boleh dikenakan cukai pendapatan termasuklah pendapatan dan keuntungan daripada perdagangan, profesion dan perniagaan, gaji, ganjaran, pendapatan, dan keuntungan berasaskan gaji, dividen, faedah atau diskaun, sewa, royalti atau premium, pencen, anuiti atau bayaran berkala yang lain dan perolehan atau keuntungan yang berbentuk pendapatan yang tidak dinyatakan di atas. Pendapatan bercukai diperolehi setelah dikira segala kos dan perbelanjaan yang terlibat secara menyeluruh atau eksklusif dalam usaha untuk menghasilkan pendapatan berkenaan. Kadar cukai bergantung kepada status penduduk individu berkenaan yang ditentukan oleh jangka masa beliau tinggal di dalam negara ini (Seksyen 7, Akta Cukai Pendapatan 1967).

Persoalannya, apakah zakat yang dibayar oleh individu Muslim dan syarikat yang dimiliki oleh individu Muslim mendapat manfaat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)? Sekiranya ia boleh mendapat manfaat sama ada dalam bentuk rebat zakat ataupun potongan cukai, maka bagaimanakah individu dan syarikat boleh memperoleh manfaat tersebut? Sekiranya ia tidak memperoleh apa-apa manfaat di bawah peraturan yang sedia ada, maka apakah tindakan susulan yang perlu diambil.

No comments: