Tuesday, May 18, 2010

ZAKAT PRODUKTIF : MODAL KERJA

Pengagihan zakat melalui zakat produktif seperti penyediaan modal kerja telah dibahaskan oleh kalangan ulamak klasik sama ada kalangan Shafi’i ataupun Hanbali. Mereka mengharuskan modal kerja diagihkan kepada asnaf. Imam An-Nawawi misalnya membahaskan secara khusus tentang modal kerja ini (Mujaini Tarimin, 2005).

Dr. Mujaini Tarimin (2005) menukilkan daripada Imam An-Nawawi di mana beliau menghuraikan hal ini seperti berikut:

“Fakir dan miskin harus mendapat agihan zakat dalam bentuk modal pelaburan seperti dibelikan alat-alat mengikut kemahiran masing-masing supaya mereka boleh mendapat keuntungan demi memenuhi keperluan harian mereka. Jika golongan fakir dan miskin merupakan seorang tukang kayu, agihan itu harus digunakan untuk membeli alat-alat pertukangan selengkapnya. Jika ia seorang peniaga, berikanlah modal secukupnya bersesuaian dengan perniagaan yang mereka ceburi. Contohnya, peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan memerlukan modal sebanyak lima hingga dua puluh dinar. Penjual minyak wangi satu ribu dinar, penjual pakaian dua ribu dinar,pengurup wang lima ribu dinar dan perniagaan intan berlian sepuluh ribu dinar. Bagi asnaf yang tidak mampu berniaga disebabkan sakit kekal atau tiada kemahiran walaupun diberikan latihan bolehlah dibelikan aset sebagai modal pelaburan yang dapat menampung diri dan tanggungannya serta menjadi harta pusaka.”

Ini dapat dirumuskan kepada tiga kategori. Pertama ialah modal kerja boleh disediakan dalam bentuk peralatan ataupun tunai sesuai dengan kemahiran masing-masing. Peralatan pertukangan disediakan kepada tukang kayu dan modal perniagaan disediakan kepada peniaga atau pedagang.

Kedua ialah amaun modal perniagaan pula diagihkan sesuai dengan bidang perniagaan yang diceburi. Peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan misalnya sebanyak lima hingga dua puluh dinar. Peniaga minyak wangi sebanyak satu ribu dinar, penjual pakaian sebanyak dua ribu dinar, pengurup wang sebanyak lima ribu dinar dan perniagaan intan berlian sebanyak sepuluh ribu dinar.

Ketiga ialah agihan dalam bentuk pelaburan turut boleh disediakan kepada penerima zakat yang tidak produktif. Misalnya bagi asnaf yang tidak mampu berniaga disebabkan sakit kekal atau tiada kemahiran walaupun diberikan latihan, mereka bolehlah diberikan zakat dalam bentuk pelaburan. Pendapatan daripada pelaburan tersebut diberikan kepada mereka untuk kegunaan diri sendiri dan tanggungan. Pelaburan tersebut turut boleh dijadikan harta pusaka.

2 comments:

N_az said...

Salam...
Saya wartawan tabloid ILuvIslam (ILI) terbitan Kumpulan Karangkraf. Saya berminat untuk menyiarkan artikel ini dalam ruangan ILuvSiber ILI. Jadi, di sini saya ingin meminta kebenaran untuk mengedit sedikit dan seterusnya menyiarkannya bagi bacaan ramai. Nama website turut disertakan sekali. Harap diizinkan. :)

Azni Husairi
http://www.facebook.com/iluvislam.weekly

DR. ZAHRI HAMAT said...

Salam,

Terima kasih kerana berminat untuk menyiarkan artikel tersebut. Saya tiada apa-apa halangan. Bagaimanapun, saya pohon die-melkan kepada saya dulu artikel yang diedit sebelum ia disiarkan. Alamat e-mel saya ialah zahri@usm.my

Wassalam