Monday, May 24, 2010

ZAKAT PRODUKTIF DAN KESEPAKATAN ULAMAK

Kalangan ulamak kontemporari turut membahaskan pengagihan dalam bentuk pelaburan. Menurut mereka pemerintah dibolehkan membuat pelaburan dalam projek-projek perkilangan dan perladangan bagi pihak penerima zakat.

Antara mereka ialah Mustaffa al-Zarqa’ dan
Yusuf al-Qaradawi (Mujaini Tarimin, 2005). Mustaffa al-Zarqa misalnya menyebut antara lain:

“Saya berpendapat apa-apa cara sekalipun pelaburan yang diceburi bertujuan untuk mengembangkan lagi agihan zakat, satu menjadi dua, dua menjadi tiga dan seterusnya. Pelaburan tersebut hendaklah dikelolakan pegawai yang beramanah dan dilaburkan kepada projek yang tiada berisiko tinggi. Pelaburan tersebut melibatkan bidang perniagaan, pembuatan atau apa-apa juga pelaburan yang boleh mendapatkan keuntungan yang halal.”

Yusuf al-Qaradawi (1993) turut berpendapat pemerintah diharuskan melabur. Ia boleh dilakukan sama ada dalam sektor perindustrian, hartanah ataupun pertanian. Beliau menyebut seperti berikut:


“Berdasarkan aliran pemikiran untuk mengkayakan orang miskin, adalah diharuskan bahagian yang dipertanggungjawabkan mengurus institusi zakat, jika banyak hasil kutipan dan banyak sumber zakat yang boleh dikutip, mendirikan kilang atau industri atau membeli tanah pertanian atau membina bangunan atau gedung perniagaan atau sesuatu program untuk menambah sumber pendapatan yang dihakmilikkan kepada fakir dan miskin untuk menampung pendapatan tetap mereka. Hak milik mereka tidak boleh dipindah milik kepada orang lain atau dijual. Jadikan hak milik mereka seperti harta wakaf.

Kalangan ulamak klasik dan ulamak kontemporari mempamerkan tidak berlaku perbezaan pendapat terhadap pelaburan daripada dana zakat dengan syarat pelaburan tersebut dimiliki oleh penerima zakat. Malah mereka turut berpendapat, harta pelaburan tersebut turut boleh dijadikan harta pusaka.

No comments: