Tuesday, February 16, 2010

GOLONGAN NON-MUSLIM, DAKWAH DAN DANA ZAKAT

Golongan non-Muslim bermaksud orang yang bukan beragama Islam atau yang mempunyai kepercayaan atau agama selain daripada agama Islam. Perkataan non-Muslim merupakan satu istilah yang popular dalam kalangan pendakwah di Malaysia.

Antara sumber yang boleh digunakan untuk membiayai usaha dakwah kepada golongan non-Muslim ialah daripada dana zakat. Ia boleh diambil daripada asnaf miskin, muallaf dan fisabilillah untuk membiayai usaha-usaha dakwah tersebut. Ini disebut oleh Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah amat mengetahui, lagi amat bijaksana” (Al-Tawbah, 9 : 60).

Ayat 60, surah al-Tawbah di atas secara jelas menyatakan lapan golongan yang berhak menerima zakat. Golongan ini dikenali asnaf lapan. Ia terdiri daripada golongan fakir, miskin, ‘amil, muallaf, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, fisabilillah dan ibnussabil.

Maksud golongan asnaf lapan dalam konteks Malaysia seperti berikut (JAWHAR, 2007). Golongan fakir ialah seseorang yang mempunyai pendapatan melebihi 50 peratus daripada keperluan asas. Golongan miskin ialah yang mempunyai pendapatan kurang 50 peratus daripada keperluan asas.

Amil ialah individu atau institusi yang terlibat dalam hal ehwal zakat. Semantara Riqab bermaksud memerdekakan diri daripada cengkaman perhambaan, kejahilan atau kongkongan pihak tertentu.

Gharimin ialah orang yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat dan memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh syarak.

Fisabililah ialah mereka yang berjuang, berusaha, mempertahankan dan meningkatkan penghayatan Islam. Ibnussabil ialah orang yang terputus bekalan semasa perjalanan dan orang yang hendak memulakan perjalanan yang diharuskan oleh syarak).

Asnaf muallaf boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama ialah golongan Muslim dan kedua ialah golongan non-Muslim. Golongan non-Muslim pula boleh dibahagikan dua kategori (al-Qaradawi, 1998). Kategori pertama ialah mereka yang diharapkan akan beriman dengan adanya bahagian mu`allaf yang diberikan kepada mereka. Kategori kedua ialah mereka yang dibimbangi tindakan kejahatannya terhadap orang Islam.

Walau bagaimanapun, agihan kepada golongan non-Muslim ini berlaku sedikit perubahan dari segi amalan dan perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha. Ia boleh dikategorikan kepada tiga keadaan. Pertama ialah Rasulullah s.a.w sendiri memberi agihan kepada golongan non-Muslim. Kedua ialah Khalifah al-Rasyidin telah memberhentikan pemberian zakat kepada golongan non-Muslim. Ketiga ialah dalam kalangan fuqaha pula mempunyai dua berpendapat iaitu ada yang berpendapat golongan non-Muslim ini boleh diberikan zakat dan ada fuqaha yang berpendapat sebaliknya.

Semasa Rasulullah s.a.w terdapat golongan non-Muslim yang diharapkan akan beriman diberikan agihan zakat. Misalnya Safwan ibn `Umayyah yang diberi jaminan keamanan oleh Rasulullah s.a.w ketika penaklukan Makkah dan diberi tempoh selama empat bulan untuk menentukan pendiriannya.

Dilaporkan daripada Said al-Musayyab bahawa Safwan b. Umayyah berkata yang bermaksud:

“Demi Allah, Rasulullah s.a.w telah memberi kepada aku, padahal beliau adalah orang yang paling aku benci. Akan tetapi beliau tidak pernah berhenti memberi kepada aku sehingga beliau menjadi orang yang aku paling sayang” (Muslim, No. Hadis : 2313).

Ternyata kemudiannya Safwan b. Umayyah menjadi seorang Islam yang baik selepas itu (al-Qaradawi, 1998).

Malah sebelum masuk Islam, dia pernah memperkuatkan pasukan Islam dalam peperangan Hunain dan Nabi pernah meminjam senjata daripadanya dalam peperangan tersebut.

Selain itu Rasulullah s.a.w turut memberikan zakat kepada golongan non-Muslim yang dibimbangi tindakan kejahatannya terhadap orang Islam. Dengan pemberian tersebut diharapkan mereka menahan diri daripada melakukan kejahatan.

Dalam hal ini, Ibn ‘Abbas melaporkan bahawa ada suatu kaum yang datang kepada Nabi s.a.w. Apabila Nabi memberikan kepada mereka, lalu memuji-muji Islam dengan mengatakan: “Ini adalah agama yang baik”. Akan tetapi apabila mereka tidak diberikan apa-apa, maka mereka akan melakukan penghinaan dan mencaci Islam. Mereka yang bertindak demikian antaranya ialah Abu Sufyan ibn Harb, ‘Uyainah ibn Hisan dan al-Aqra’ ibn Habis. Mereka pernah menerima seratus ekor unta dari Nabi.

Selain daripada mereka yang turut mendapat bahagian tersebut ialah Mu’awiyah ibn Abu Sufyan., Hakim ibn Hizam, al-Harith ibn Hisyam, Suhayl ibn ‘Amr, Huwaytib ibn ‘Abd al-’Uzza, Syafwan ibn `Umayyah, Malik ibn ‘Awf dan al-’Ala’ ibn Jariyah.

Semasa pemerintahan Khalifah al-Rasyidin, amalan pemberian zakat kepada golongan non-Muslim telah diberhentikan. Pada peringkat awalnya, amalan mengagihkan zakat kepada golongan non-Muslim sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w diteruskan khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Ia ditolak oleh Umar al-Khattab.

Abu Bakar Ahmad Ibn Ali al-Jassas melaporkan hujah Umar al-Khattab ketika menolak agihan zakat kepada golongan non-Muslim (Muhammad Firdaus, 2002) adalah seperti berikut:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pada masa itu membujuk hati kamu (‘Uyainah ibn Hisan dan al-Aqra’ ibn Habis) pada saat Islam masih lemah. Kini Allah s.w.t telah menjayakan Islam. Pergilah kamu berdua dan berusahalah sekuat tenaga (untuk mencari nafkah). Apabila kamu masih tetap seperti keadaan sekarang ini (tidak berusaha dan tidak mengharapkan zakat) maka Allah tidak memerhatikan kamu berdua.”

Hujah Umar al-Khattab ini mempamerkan amalan pengagihan zakat kepada golongan non-Muslim ini sangat berkait dengan keadaan sosio politik umat Islam. Keadaan sosio politik ketika Rasulullah s.a.w adalah berbeza dengan keadaan sosio politik pada ketika Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab. Malah ketika itu negara telah siap untuk berdepan dengan empayar Rom dan Parsi (Muhammad Firdaus, 2002). Khalifah Uthman b. Affan Ali b. Abi Talib turut tidak mengagihkan zakat kepada golongan non-Muslim.

No comments: