Wednesday, October 28, 2009

HARTA WAJIB ZAKAT

Zakat adalah rukun Islam ketiga selepas syahadah dan solat. Ia berdasarkan al-Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri. Antaranya sebagaimana yang dilaporkan ketika Rasulullah s.a.w mengutuskan Muadh b. Jabal ke Yaman. Rasulullah s.a.w telah berpesan yang bermaksud:

“Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka menunaikan zakat pada harta mereka. Harta itu diambil dari orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka” (al-Bukhari, No. 478).

Harta-harta yang diwajibkan zakat sebenarnya sering menjadi perbahasan dalam kalangan fuqaha. Muhammad Abdul Mun’im Al-Jammal (2000) misalnya memetik keluhan bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut yang antara lain menyebut:

“Betapa sedih dan pilunya hati apabila sahaja kita dapati bahawa jurang perbezaan antara para pemerintah dan fuqaha dalam melaksanakan kewajipan zakat ini begitu luas sekali seperti yang kita dapati dalam kitab-kitab fiqh dan juga kitab-kitab tentang hukum agama. Sebagai contohnya fuqaha ini mengenakan zakat atas hasil pertanian yang diusahakan oleh manusia dan fuqaha yang lain pula enggan mengenakan zakat kecuali ke atas beberapa jenis hasil pertanian yang tertentu sahaja. Fuqaha ini mengenakan zakat ke atas semua barangan perniagaan dan yang lain pula enggan mengenakannya. Kewajipan zakat ini perlulah didedahkan kepada kaum Muslimin supaya mereka menganggap bahawa kewajipan menunaikan zakat itu sama dengan kewajipan menunaikan solat”.

Hal ini berlaku disebabkan perkataan harta yang disebut di dalam al-Qur’an itu sendiri. Antaranya seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Ambillah (sebahagian) dari harta (amwal) mereka menjadi sedekah (zakat), (supaya dengannya) engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doa mu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (al-Taubah, 9: 103).

Perkataan harta ialah terjemahan daripada perkataan Arab iaitu amwal. Perkataan amwal boleh juga diterjemahkan sebagai kekayaaan (wealth). Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan” (al-Baqarah, 2: 265).

Harta yang diwajibkan zakat di dalam al-Qur’an disebut dalam bentuk umum. Tetapi harta itu turut disebut khusus. Rasulullah s.a.w kemudian menjelaskannya melalui al-Sunnah (Yusuf al-Qaradawi, 1999). Para fuqaha seterusnya telah membahagikankan harta-harta wajib zakat kepada lima kategori. Pertama, al-’ayn iaitu emas dan perak; kedua, al-tijarah iaitu perniagaan; ketiga, al-harth iaitu pertanian; keempat, al-mashiyyah iaitu ternakan; dan kelima, al-rikaz iaitu hasil bumi (Wahbah al-Zuhaili, 1994).

Harta yang wajib zakat boleh juga kepada dua kategori iaitu harta zahir dan harta batin. Harta zahir ialah harta yang tidak dapat disembunyikan untuk mengelakkan daripada dikenakan zakat seperti hasil pertanian, binatang ternakan dan sebagainya. Harta batin ialah harta yang dapat disembunyikan untuk mengelakkan daripada dikenakan zakat seperti emas, perak dan barangan perniagaan. Perakaunan zakat ke atas setiap kategori harta tersebut turut telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

Harta-harta wajib zakat ini sebenarnya tidaklah rigid. Misalnya zakat ke atas ternakan kuda. Semasa Rasulullah s.a.w kuda dikecualikan daripada zakat. Pada masa itu kuda digunakan untuk peperangan dan pengangkutan. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sebaliknya kuda diwajibkan zakat kerana ia telah diternak secara komersial (Abu Ubayd, 1997). Khalifah Umar al-Khattab turut mewajibkan zakat ke atas kacang, buah zaitun, madu dan hasil laut yang tidak diwajibkan zakat sebelum itu (Mujaini Tarimin, 1999).

6 comments:

mlar said...

Dr,

Bagaimana caranya untuk membayar zakat saham?

Saya tak faham sebab antara syaratnya ialah cukup haul, bagaimana sekiranya ia tak pernah memegang saham tertentu bai tempoh setahun?

DR. ZAHRI HAMAT said...

Assalamualaikum wr. wb,

Zakat saham boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, saham yang dipegang untuk pelaburan. Ia tidak dijualbeli/urusniaga di pasaran saham. Zakat dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diterima iaitu dalam bentuk dividen. Kedua, saham yang diurusniaga di pasaran saham. Zakat dikenakan ke atas saham yang masih dipegang di akhir haul dan keuntungan yang diterima iaitu perbezaan antara harga jual dengan harga beli.

Detail, boleh rujuk laman web berikut. http://myais.fsktm.um.edu.my/7513/1/Perakauanan_Zakat_Saham_Kajian_Di_Pusat_Pungutan_Zakat_Majlis_Agama_Islam_Wilayah_Persekutuan.pdf

Marinahj. Kassim said...

Dr, saya berminat ingin mendalami zakat perniagaan dalam penulisan tesis saya, tetapi saya tiada asas accounting..apakah saya perlu mendalami dahulu account sebelum memulakan penulisan berkenaan dengan zakat perniagaan?apakah kursus yang sesuai..ACCA atau Dip Pengurusan perniagaan?T. kasih.Boleh saya tahu email Dr?

Marinahj. Kassim said...

Dr, saya berminat ingin mendalami zakat perniagaan dalam penulisan tesis saya, tetapi saya tiada asas accounting..apakah saya perlu mendalami dahulu account sebelum memulakan penulisan berkenaan dengan zakat perniagaan?apakah kursus yang sesuai..ACCA atau Dip Pengurusan perniagaan?T. kasih.Boleh saya tahu email Dr?

DR. ZAHRI HAMAT said...

Salam. Maaf, saya baru tengok. Untuk lebih mudah, sila e-mel kepada saya melalui zahri@usm.my. Wassalam

DR. ZAHRI HAMAT said...

Salam. Maaf, saya baru tengok. Untuk lebih mudah, sila e-mel kepada saya melalui zahri@usm.my. Wassalam