Wednesday, September 02, 2009

FITRAH MELALUI MATAWANG

Zakat fitrah boleh ditunaikan bermula dari hari pertama Ramadan dan berakhir sebelum solat sunat Hari Raya Puasa pada satu Syawal.

Kaedah menunaikannya dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Antaranya ialah daripada Ibn Umar yang bermaksud: ”Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu gantang kurma atau satu gantang gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka mahupun hamba, lelaki mahupun wanita” (Sahih Bukhari, No. Hadis: 1407).

Dalam Hadis lain, dilaporkan daripada Abu Said Al-Khudri yang bermaksud: “Kami biasanya mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu gantang makanan, satu gantang gandum, satu gantang kurma, satu gantang keju atau satu gantang kismis (anggur kering)” (Sahih Muslim, No. Hadis : 1640).

Kedua-dua hadis di atas mempamerkan bahawa zakat perlu ditunaikan dengan bahan makanan. Ia ditunaikan dengan bahan makanan utama dalam kalangan masyarakat tempatan. Satu gantang adalah bersamaan dengan 2.751 kilogram.

Para fuqaha bersepakat dalam hal ini dan mengatakan tidak harus menggantikan zakat fitrah dengan mata wang.

Namun begitu, kalangan fuqaha Hanafi terutamanya Abu Yusuf berpendapat sebaliknya, iaitu zakat fitrah boleh ditunaikan sama ada dengan bahan makanan utama ataupun dengan mata wang.

Pendapat ini sebenarnya tidaklah mempamerkan pertentangan dari segi tujuan zakat fitrah, malah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Kayakan mereka (fakir miskin) pada hari itu (Hari Raya)” (ad-Daruqutni, No. Hadis : 2157).

Dengan itu, untuk merealisasikannya, iaitu mengayakan mereka pada hari raya, maka zakat wajar ditunaikan dengan mata wang.

Dalam situasi sekarang, bayaran dengan mata wang adalah lebih menepati maksud dan semangat hadis di atas. Malah ini akan memudahkan penerima zakat, iaitu fakir dan miskin dalam membuat persiapan untuk menyambut ketibaan Hari Raya.

No comments: