Wednesday, August 05, 2009

KEKAYAAN YANG TIDAK DISEPAKATI

Kekayaan wajib zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama ialah kekayaan yang disepakati seperi emas dan perak, hasil pertanian, binatang ternakan dan aset perniagaan. Kedua ialah kekayaan yang tidak disepakati seperti pendapatan penggajian dan hasil pelaburan.

Zakat terhadap kekayaan yang disepakati telah disebut secara jelas oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun masih wujud beberapa perbezaan pendapat tentang perakaunannya, tetapi ia lebih kepada hal-hal furu' sahaja.

Zakat terhadap kekayaan yang tidak disepakati bukan sahaja berlaku perbezaan pendapat terhadap perakaunannya, malah perbezaan pendapat juga masih lagi wujud ke atas hukumnya. Apakah ia diwajibkan zakat ataupun sebaliknya.

Namun sekiranya dianalisis dari Hadith Rasulullah s.a.w., perakaunan zakat ke atas kekayaan yang disepakati boleh dibahagikan kepada tiga bentuk. Pertama, zakat dikenakan ke atas kekayaan itu sendiri. Misalnya zakat ke atas emas dan perak. Kedua, zakat dikenakan ke atas kekayaan dan pendapatan daripada kekayaan tersebut. Misalnya zakat ke atas aset perniagaan dan binatang ternakan. Ketiga, zakat dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diperoleh dari sesuatu kekayaan. Misalnya zakat ke atas hasil pertanian dan perlombongan.

Kalau begitulah keadaannya, maka apa jua kekayaan yang baru diperolehi atau ditemui bolehlah diqiyaskan kepada salah satu dari kaedah perakaunan zakat yang disebutkan di atas. Persoalaannya ialah, bagaimanakah untuk menentukan sesuatu kekayaan itu sama ada diwajibkab zakat ataupun sebaliknya?

No comments: