Tuesday, May 12, 2009

PERAKAUNAN ZAKAT

Sekitar tahun 1985 (kalau tidak silap), ketika temuduga untuk pengesahan jawatan akauntan kanan, saya ditanyakan tentang perakaunan Islam (Islamic Accounting). Saya masih ingat, saya hanya katakan Islam ialah a way of life. Islam satu cara hidup. Pastinya semua hal tercakup di dalamnya. Maka sesuatu persoalan yang timbul, pasti ada penyelesaiannya, sesuai dengan keperluan pada masa itu.

Ketika itu, saya dipinjamkan sebagai akauntan kanan di Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Temuduga itu di Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pemikiran tentang perakaunan Islam ketika itu masih di peringkat awal. Tetapi k
ini, pemikiran tentang perakaunan Islam sudah tidak menjadi satu isu. Mungkin telah berada di tahap kematangan. Malah lebih dari itu, perakaunan zakat, sebahagian dari perakaunan Islam pun sudah menjadi topik biasa.

Buku-buku tentang perakaunan zakat boleh diperolehi di pasaran. Antaranya yang popular ialah Halat Tatbiqiyah fi Muhasabat al-Zakat tulisan Prof Muhammad Kamal ‘Atiyah yang diterbit pada tahun 1988. Buku ini telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dengan judul Perakaunan Zakat - Teori dan Praktis yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1995.

Perakaunan zakat juga telah menjadi subjek yang diajari di peringkat universiti, antaranya di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Ini satu perkembangan yang cukup baik.

Persoalannya, apakah definisi perakaunan zakat. Apakah ia setakat membuat perkiraan untuk menjawab amaun yang perlu dikenakan zakat. Atau menentukan harta yang dikenakan zakat dan setelah itu ditaksirkan berapa zakat? Atau lebih dari itu?

Perakaunan zakat berasal dari perkataan bahasa Arab, iaitu muhasabah al-zakat.

Dari segi istilah, perakaunan zakat ialah satu bidang ilmu perakaunan Islam untuk menentu dan menilai harta yang diwajibkan zakat, menentukan kadarnya, membuat taksiran zakat yang dikenakan dan memungutnya serta mengagihkan zakat yang dipungut kepada penerima zakat berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh syarak.

Proses perakaunan zakat melibatkan lima tahap. Pertama, menentukan harta-harta yang diwajibkan zakat. Kedua, menilai harta-harta yang diwajibkan zakat. Ketiga, menentukan kadar zakat yang sesuai. Keempat, memungut zakat dan mengagihkan zakat kepada penerima zakat. Kelima, menyediakan laporan kepada pihak berkuasa mengenai pungutan dan agihan zakat.
Persoalannya, apakah definisi ini mencukupi? Apakah definisi ini sudah menghampiri ketepatan, atau hanya sipi-sipi sahaja? Malah yang lebih penting lagi ialah, apakah definisi ini tidak betul, oleh itu ia perlu diperbetulkan.

No comments: