Monday, May 25, 2009

PELABURAN DANA ZAKAT

Pelaburan dana zakat ini sebenarnya telah dibahaskan secara detail oleh Dr Mujaini Tarimin (2005) di dalam buku yang berjudul Golongan Penerima Zakat - Agihan Dana Zakat Secara Lebih Berkesan.

Beliau telah menukilkan beberapa pendapat dari pemikir-pemikir serta ulama-ulama Islam kontemporari yang mengharuskan pelaburan dana zakat.

Antaranya ialah al-Ustadh Mustaffa al-Zarqa’, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh ‘Abd Fatah Abu Ghaddah, Dr. ‘Abd al-Aziz al-Khayyat, Dr. Muhammad Faruq al-Nabhan dan Dr. Muhammad Salih al-Farfur.

Berikut petikan antara pendapat mereka:

Al-Ustadh Mustaffa al-Zarqa’ berpendapat, apa-apa cara sekali pun pelaburan yang diceburi bertujuan untuk mengembangkan lagi agihan zakat, satu menjadi dua, dua menjadi tiga dan seterusnya. Pelaburan tersebut hendaklah dikelolakan oleh pegawai yang beramanah dan dilaburkan kepada projek yang tiada berisiko tinggi. Pelaburan tersebut melibatkan bidang perniagaan, pembuatan atau apa-apa juga pelaburan yang boleh mendapat keuntungan yang halal.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat, berdasarkan aliran pemikiran untuk mengkayakan orang miskin, adalah diharuskan bahagian yang dipertanggungjawabkan mengurus institusi zakat, jika banyak hasil kutipan dan banyak sumber zakat yang boleh dikutip, mendirikan kilang atau industri atau membeli tanah pertanian atau membina bangunan atau gedung perniagaan atau sesuatu program untuk menambahkan sumber pendapatan yang dihakmilikkan kepada fakir dan miskin untuk menampung pendapatan tetap mereka. Hak milik mereka tidak boleh dipindah milik kepada orang lain atau dijual. Jadikan hak milik mereka seperti harta wakaf.

‘Abd al-Fatah Abu Ghaddah berpendapat, harus menggunakan dana zakat untuk membuat pelaburan demi kebaikan kepada mujahidin. Pemegang saham boleh menggunakan atau mengeluarkan sahamnya kerana asnaf dianggap sebagai penyimpan.

Dr. Muhammad Faruq al-Nabhan mencadangkan penubuhan sebuah Kementerian Zakat yang berperanan mengutip dan mengagihkan dana zakat kepada asnaf. Kementerian ini juga berperanan membangunkan harta zakat yang dimiliki oleh fakir dan miskin supaya keuntungan dapat diagihkan semula kepada asnaf yang berhak menerimanya.

Dr ‘Abd al-Aziz al-Khayyat berpendapat, zakat perlu diaktifkan dan dilabur sebahagiannya dalam pelbagai pelaburan kebajikan, perniagaan, pembuatan, perindustrian untuk faedah para asnaf.

Dr. Muhammad Salih al-Farfur berpendapat, pelaburan dana zakat yang kami haruskan merupakan satu istihsan disebabkan terdapat keperluan mendesak. Pelaburan tersebut mestilah di bawah pengawasan kerajaan Islam atau institusi yang dibenarkan seperti mahkamah.
bersambung...

No comments: