Wednesday, May 13, 2009

HARTA DIWAJIBKAN ZAKAT

Perakaunan zakat mempunyai empat tahap. Tahap pertama ialah menentukan harta-harta yang diwajibkan zakat. Di dalam al-Qur’an, harta yang diwajibkan zakat disebut dalam dua bentuk. Pertama, dalam bentuk umum; dan kedua, dalam bentuk khusus. Dalam bentuk umum, al-Qur'an hanya menyebut perkataan sebahagian harta (al-Taubah, 9: 103) atau harta-harta (al-Dhariyat, 51: 19). Dalam bentuk khusus, al-Qur'an menyebut harta-harta seperti emas dan perak (al-Taubah, 9: 34), pendapatan pertanian (An’am, 6: 141), pendapatan perniagaan dan hasil galian (al-Baqarah, 2: 267).

Selain di dalam al-Qur’an, kedua-dua bentuk tersebut disebut di dalam al-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam bentuk umum, Rasulullah s.a.w. hanya menyebut perkataan harta-harta, sementara dalam bentuk khusus, Rasulullah s.a.w. menyebut jenis-jenis harta, iaitu emas dan perak, barangan perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta, dan hasil galian.

Oleh sebab itulah terdapat kalangan pemikir Islam berpendapat, perkataan harta yang menjadi pokok persoalan ke atas zakat harta. Antaranya ialah Muhammad Abdul Mun’im Al-Jammal (2000). Dengan kata lain, perbahasan terhadap harta yang diwajibkan zakat akan terus berlaku, dan oleh itu kalangan pemikir Islam dibolehkan secara berterusan membuat ijtihad.

Apatah lagi terdapat pemikir-pemikir Islam semasa mencadangkan supaya jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat ini perlu diperluaskan (Muhammad Abdul Mannan, 1989).

No comments: