Friday, April 10, 2009

Zakat Produktif

Di dalam Rawdah al-Talibin, Imam al-Nawawi menukilkan dari Imam Zakaria al-Ansari yang bermaksud: "Seandainya asnaf fakir dan miskin berkelayakan untuk berniaga berikan kepadanya modal secukupnya supaya mendapat pulangan yang lumayan. Pemberian modal itu sesuai dengan keadaan tempat, masa dan individu tersebut. Peniaga buah-buahan layak diberi modal 5 - 20 dirham, pembuat roti 50 dirham, pekedai runcit 100 dirham, peniaga minyak wangi 1000 dirham, peniaga daging 2000 dirham, pengurup wang 5000 dirham atau dibelikan tanah untuk petani bagi yang mempunyai minat untuk bercucuk tanam" (Mujani Tarimin, 2005).
Ini adalah antara kaedah yang diutarakan oleh ulama' silam dalam sistem pengagihan zakat. Kaedah pengagihan ini khusus untuk asnaf fakir miskin yang memenuhi ciri-ciri seorang usahawan.
Amaun yang diperuntukkan sebagai modal itu juga berbeza-beza. Bagi jenis perniagaan yang memerlukan modal yang besar seperti peniaga daging dan pengurup wang ialah sehingga 5000 dirham. Bagi perniagaan kecil-kecilan pula hanya sekitar 5 - 20 dirham.
Malah bagi usahawan berminat dalam pertanian, bukan setakat modal yang diberikan, tetapi ia boleh dibelikan tanah untuk beliau kerjakan.
Malah dilaporkan di dalam al-Amwal, dari 'Amru Ibn Dinar menyebut Khalifah 'Umar al-Kattab berkata yang bermaksud: "Apabila kamu memberi jadikan dia kaya" (Abu Ubayd, 1975).
Dalam dalam keadaan yang lain, dilaporkan Khalifah 'Umar al-Khattab mengarahkan pegawainya mengagihkan zakat kepada asnaf fakir miskin ini walaupun beberapa kali, asalkan dapat melepaskan mereka dari belenggu kemiskinan. Dilaporkan 'Umar al-Khattab berkata, maksudnya: "Ulangkanlah pemberian zakat kepada mereka walaupun ada di kalangan mereka telah menerima seratus ekor unta" (Abu Ubayd, 1975).
Kedua-dua laporan ini jelas mempamerkan matlamat pengagihan zakat ialah untuk mengeluarkan asnaf fakir miskin dari belenggu kemiskinan. Bahkan pada akhirnya, kedua-duanya mempamer untuk menukarkan asnaf fakir miskin menjadi pembayar zakat.
Dengan itu, walaupun pengagihan dalam bentuk konsumtif diutamakan, tetapi pengagihan dalam bentuk produktif tidak harus diabaikan.

No comments: