Wednesday, April 22, 2009

'ILLAH HARTA WAJIB ZAKAT

Para fuqaha’ sepakat bahawa harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang boleh berkembang atau berpotensi untuk berkembang. Jika sesuatu harta itu tidak memiliki sifat berkembang, maka harta tersebut tidak diwajibkan zakat.

Berkembang boleh ditafsirkan sebagai mampu mendatangkan keuntungan atau keuntungan itu sendiri (Yusuf al-Qaradawi, 1999). Ia merupakan rumusan kepada pengertian nas-nas yang mewajibkan zakat harta. Mahmood Zuhdi Abd. Majid (2003) merumuskan, semua harta yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. secara jelas adalah bersifat berkembang. Antaranya ialah emas, perak, binatang ternakan dan barangan perniagaan.

Justeru berkembang adalah ‘illah sesuatu harta diwajibkan zakat. Jika harta itu tidak mempunyai sifat berkembang, maka ia dikecualikan zakat.

Oleh sebab itulah misalnya, mazhab Maliki berpendapat barangan perniagaan untuk spekulasi tidak dikenakan zakat kecuali pada waktu barangan itu dijual. Zakat diwajibkan hanya pada tahun barangan tersebut dijual meskipun ia telah pun dipegang bertahun-tahun lamanya. Barangan itu hanya mempunyai sifat berkembang semasa ia dijualkan (Mahmood Zuhdi Abd. Majid, 2003).

Persoalannya, sejauh manakah perubahan masa, keadaan dan tempat khususnya di Malaysia boleh mengubahkan sesuatu ‘illah? Apakah perluasan kepada ‘illah bagi hukum zakat adalah diperlukan?

‘Illah berkembang ini oleh itu telah tidak dipersetujui oleh beberapa tokoh semasa. Antara lain ialah Monzer Kahf dan Mohd. Daud Bakar. Menurut Monzer (1991), kekayaan itu sendiri merupakan sebab kepada kewajipan zakat.

Malah, menurut Mohd. Daud Bakar (2000) ‘illah kepada harta zakat sebagai harta yang berkembang adalah tidak tepat kerana zakat tetap diwajibkan ke atas wang tunai dan hutang yang belum dibayar sedangkan ia tidak memberi apa-apa keuntungan ataupun lebihan.

Jika zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang berkembang, maka hak golongan miskin mungkin terabai dan tidak terbela.

No comments: