Wednesday, April 15, 2009

HARTA DAN ASNAF ZAKAT PERLU DINILAI SEMULA?

Harta yang diwajibkan sering dibincangkan di kalangan cendekiawan Islam. Antara lain ialah apakah zakat hanya diwajibkan terhadap harta-harta yang disebut di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w? Bagaimanakah pula dengan harta-harta yang baru ditemui ataupun baru wujud? Apakah harta-harta tersebut diwajibkan zakat? Jika harta-harta itu diwajibkan zakat, apakah kaedah yang boleh dipakai dalam menentukan perakaunan zakatnya?

Perkara yang sama sering juga berlaku ke atas tafsiran asnaf zakat. Apakah tafsiran asnaf itu perlu mematuhi tulisan-tulisan fuqaha’ klasik? Apa jua tafsiran baru perlu menjadikan tafsiran fuqaha klasik sebagai panduan. Malah apakah tafsiran asnaf terdahulu tidak boleh dinilai semula?

Begitu antara persoalan yang mungkin cuba dijawab di Bengkel IKaZ Bersama Industri Siri 5/2009 yang akan diadakan pada 28 - 29 April 2009 ini.

Ini jelas dipamerkan antara lain objektif bengkel tersebut ialah untuk mengenal pasti sumber-sumber baru zakat dan meningkatkan kefahaman berkaitan tafsiran baru asnaf zakat.

Dua kertas kerja akan dibentang bagi maksud mengenal pasti sumber-sumber baru zakat. Ia akan dibentangkan oleh Prof. Dato’ Mat Saleh Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan K.H Ma’ruf Amin, Ketua Majelis Ulama Indonesia.

Begitu juga sebanyak dua kertas kerja akan dibentang tentang tafsiran kontemporari asnaf zakat. Ini akan dibentangkan oleh Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, Mufti Negeri Perlis dan Sahibus Samahah Syed Isa Mohamed Semait, Mufti Singapura.

Sementara kertas kerja tentang perluasan zakat dan tafsiran kontemporari asnaf dari perspektif pengurus zakat akan dibentang oleh Ketua Pengarah Jabatan JAWHAR, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan Ketua Unit Zakat MUIP.

Perluasan zakat ini telah mendapat perhatian di kalangan cendekiawan di Malaysia. Antara lain ialah Prof. Dato’ Mahmood Zuhdi Abd. Majid (2003). Menurut beliau, meskipun al-Qur’an menyebut harta-harta tertentu dikenakan zakat (al-Taubah, 9: 34; An’am, 6: 141; dan al-Baqarah, 2: 267) tetapi tidak ada apa-apa kenyataan atau isyarat yang ia secara bersama menghadkan pengertian umum yang terdapat dalam ayat-ayat 19 surah al-Dhariyat dan 103 surah al-Taubah. Malah menurut beliau lagi, ketiga-tiga ayat tersebut hanya menerangkan beberapa jenis harta yang diwajibkan zakat tetapi ia tidak bermakna harta-harta lain tidak diwajibkan zakat.

Prof. Madya Dr. Mujaini Tarimin (2005) misalnya membahaskan tentang pengagihan zakat kontemporari melalui pelaburan dana zakat. Pelaburan yang dimaksukan ialah usaha untuk mengembangkan harta zakat pada masa tertentu dengan berbagai kaedah pelaburan demi untuk menjamin pulangan kepada asnaf.

Malah beliau membuat kesimpulan, walaupun dasar agihan zakat kepada asnaf telah ditentukan di dalam al-Qur’an, tetapi ia tidak bermakna menyekat kebebasan pengurus zakat untuk berijtihad dalam pengagihan yang lebih berkesan sesuai dengan perkembangan dan isu semasa.

Begitulah betapa lestarinya fiqh Islam. Tinggal lagi, usaha yang sungguh-sungguh dari pelbagai pihak amatlah diperlukan demi untuk merealisasikannya.

No comments: