Wednesday, September 17, 2008

BENTUK KEKAYAAN WAJIB ZAKAT

Zakat diwajibkan ke atas dua bentuk kekayaan. Pertama ialah dalam bentuk pendapatan. Kedua ialah dalam bentuk kekayaan itu sendiri. Dalam bentuk pendapatan, ia meliputi zakat terhadap hasil pertanian dan hasil galian, manakala bentuk kekayaan kekayaan, ia meliputi zakat emas dan perak, perniagaan serta ternakan.

Lebih daripada itu, terdapat Hadis yang membicarakan persoalan kekayaan secara khusus. Misalnya ketika mengutuskan Muadh b. Jabal ke Yaman, Rasulullah s.a.w berpesan kepada beliau yang bermaksud: “Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya dan dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis mempamerkan dua perkara. Pertama, zakat dilaksanakan dengan mengambil kekayaan daripada golongan kaya dan diberikan kepada golongan miskin. Kedua, pengambilan zakat daripada golongan kaya itu sebenarnya mengembalikan hak golongan miskin ke atas kekayaan golongan kaya.

Dengan kata lain, zakat diwajibkan ke atas setiap kekayaan yang dimiliki oleh umat Islam yang kaya. Justeru sesiapa saja yang termasuk dalam golongan kaya, maka mereka diwajibkan membayar zakat.

Persoalannya, apakah bentuk-bentuk kekayaan yang diwajibkan zakat? Adakah zakat diwajibkan ke atas jenis-jenis kekayaan yang disebut oleh Rasulullah S.A.W sahaja? Bagaimanakah pula dengan kekayaan-kekayaan lain?

Justeru sekiranya kekayaan adalah dasar kepada kewajipan zakat, maka definisi kekayaan itu sendiri memerlukan satu penilaian semula. Apatah lagi terdapat pelbagai kekayaan yang sedang dimiliki oleh umat Islam dan kekayaan mungkin akan dimiliki mereka pada masa akan datang.

Misalnya mereka yang mempunyai beberapa buah rumah kediaman yang tidak didiami ataupun yang didiami sekali sekala. Begitulah juga dengan pemilikan bilangan kenderaan yang melampaui keperluan seseorang. Mengikut amalan sekarang, rumah dan kenderan dikategorikan sebagai harta tetap. Harta tetap tidak diwajibkan zakat.

Walhal mereka yang mempunyai beberapa buah rumah dan kenderaan itu sebenarnya terdiri daripada golongan kaya. Golongan kaya diwajibkan zakat ke atas kekayaan yang mereka miliki.

Sekiranya rumah-rumah dan kenderaan-kenderaan itu disewakan, maka zakat pendapatan sewaan akan diwajibkan.
...BERSAMBUNG

No comments: