Monday, September 15, 2008

AL-QURAN, HADIS DAN KEKAYAAN

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut di dalam al-Quran dan Hadis. Di dalam al-Quran Allah SWT menyebutnya dalam dua bentuk. Pertama ialah dalam bentuk umum dan kedua ialah dalam bentuk spesifik. Dalam bentuk umum, al-Quran hanya menyebut perkataan sebahagian harta. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka dengannya kamu membersihkan dan menyucikan mereka”. (Surah al-Taubah, ayat 103)

Dalam ayat yang lain al-Quran menyebut harta-harta. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian”. (Surah al-Zariyat, ayat 19)

Dalam bentuk spesifik pula, al-Quran menyebut kekayaan seperti emas dan perak. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih”. (Surah al-Taubah, ayat 34).

Dalam bentuk pendapatan pula antaranya ialah seperti pendapatan daripada pertanian. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya”. (Surah An’am, ayat 141)

Pendapatan daripada perniagaan dan hasil galian adalah seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha mu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut oleh Rasulullah SAW juga dalam dua bentuk Dalam bentuk umum, Rasulullah SAW hanya menyebut perkataan harta-harta. Misalnya sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tunaikan zakat harta-harta kamu”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Dalam Hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menunaikan zakat harta kamu maka sesungguhnya kamu telah menunaikan kewajipan kamu”. (Hadis riwayat Ibn Majah)

Dalam bentuk spesifik, Rasulullah SAW menyebut kekayaan diwajibkan zakat, iaitu emas dan perak, barangan perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta, dan hasil galian.

Malah Rasulullah SAW menyebut kaedah perakaunan zakat ke atas kekayaan. Bagi zakat emas dan perak, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…tidak diwajibkan atas kamu sesuatu pun pada emas sehingga ada bagi kamu dua puluh dinar; kalau engkau ada dua puluh dinar, dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpanan kamu, maka zakatnya ialah setengah dinar”. (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Untuk zakat perniagaan pula dilaporkan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w memerintah kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barangan yang disediakan untuk dijual”. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Kadar zakat ke atas hasil pertanian pula sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tanaman yang disiram dengan air hujan atau air mata atau tumbuh sendiri zakatnya satu per sepuluh dan tanaman yang disiram dengan alat siraman zakatnya satu per duapuluh”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bagi zakat ternakan misalnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “…tidak dikenakan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor”. (Hadis riwayat al-Bukhari), manakala bagi pendapatan hasil bumi (rikaz) seperti galian misalnya “…dan pada rikaz (diwajibkan zakatnya) satu perlima”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW di atas, kekayaan yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama ialah pendapatan yang peroleh. Kedua ialah kekayaan yang dimiliki. Justeru setiap orang Islam yang memperoleh pendapatan, maka mereka diwajibkan zakat. Begitu juga sekiranya mereka memiliki kekayaan, mereka akan diwajibkan zakat.

Justeru di bawah kategori pendapatan, ia meliputi zakat terhadap hasil pertanian dan hasil galian, manakala dibawah kategori kekayaan, ia meliputi zakat emas dan perak, perniagaan serta ternakan.
....bersambung

No comments: