Sunday, August 17, 2008

HAD AL-KIFAYAH

Zakat perlu diagihkan kepada asnaf pada amaun yang mencukupi. Persoalanya ialah berapa banyak amaun yang mencukupi itu. Apakah amaun itu sama untuk setiap asnaf? Justeru apakah faktor untuk menentukan amaun yang mencukupi itu.

Hal ini sebenarnya telahpun dibahaskan oleh ulama’ silam. Mereka sudah sepakat pendapat bahawa kekayaan atau pemilikan harta pada ketika itu merupakan antara aspek penting.

Ukuran kekayaan ini boleh berubah mengikut keperluan seseorang asnaf. Ia terpamer daripada Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Daripada Qabisah b. Mukhariq al-Halili katanya: aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua qabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w. meminta bantuan kepada Baginda untuk membayarnya. Jawab Baginda: Tunggulah sampai orang datang menghantar zakat, nanti aku suruh supaya menyerahkannya kepadamu. Kemudian Baginda meneruskan sabdanya: Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak dibolehkan kecuali untuk tiga golongan: (i) Orang yang menanggung hutang (Gharim, untuk mendamai orang yang bersengketa atau seumpamanya), maka orang itu boleh meminta-minta sehingga hutangnya selesai dilunaskan, apabila hutangnya selesai dilunaskan, maka ia tidak boleh lagi meminta-minta; (ii) Orang yang ditimpa bencana, sehingga musnah harta bendanya, orang itu boleh meminta-minta sehingga memperolehi kehidupan yang layak baginya; (iii) Orang yang ditimpa kemiskinan (disaksi atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin), orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperoleh sumber penghidupan yang layak. Rasulullah bersabda: Selain daripada tiga golongan ini, wahai Qabisah! Haram baginya memakan hasil daripada meminta-minta itu” (Muslim, No. Hadis: 2271).

Dalam konteks pengagihan zakat, ukuran kekayaan ini dikenali sebagai had al-kifayah. Had al-kifayah merupakan suatu garisan kecukupan bagi seseorang individu atau bagi sesebuah keluarga. Dengan kata lain, had al-kifayah merujuk kepada suatu garisan, had atau kadar keperluan asas minimum berdasarkan kos sara hidup masa kini.

Di Malaysia misalnya, ukuran kekayaan ini adalah berdasarkan kepada bilangan isi rumah dan lokasi sama ada tinggal di bandar raya, bandar atau luarpun bandar. Hal ini kerana had al-kifayah di setiap kawasan adalah berbeza kerana keperluan harian di bandar tentulah lebih tinggi berbanding dengan keperluan di luar bandar (JAWHAR, 2007).

Lebih dari itu, Abu ‘Ubaid melaporkan Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata yang bermaksud: “Jika kamu memberi, berilah sehingga mereka kaya”. Malah beliau memerintahkan kepada amil zakat supaya memberi zakat secara berterusan yang bermaksud: “Ulangilah pemberian sedekah (zakat) kepada mereka (asnaf zakat) meskipun seratus ekor unta telah habis daripada seseorang (Abu Ubaid, 1991: 560).
[1]

Bagi memenuhi semangat dan matlamat agihan zakat, iaitu untuk memenuhi keperluan penerimanya, maka pihak pengurusan zakat dari semasa ke semasa perlulah sentiasa mengkaji bagi mengenalpasti cara terbaik untuk mecapai matlamat tersebut. Setiap asnaf mempunyai masalah tersendiri yang perlu ditangani melalui agihan zakat (Hasanah Abd Khafidz, 2006).

Nota Hujung
[1] Untuk huraian lebih lanjut Had al-Kifayah dan bentuk-bentuk agihan yang boleh diberi kepada asnaf, sila lihat tulisan Ismail Shahatah (1989: 63 - 65).

No comments: