Tuesday, July 29, 2008

PERLUASAN ASAS ZAKAT

Satu seminar tentang Penyelarasan Zakat dan Cukai Pendapatan di Malaysia telah diadakan pada 28 - 29 Mac 1988 di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. Antara isu yang dibahaskan ialah kefarduan zakat pendapatan.
Pada ketika itu, ada pihak yang mengatakan pendapatan atau gaji adalah diwajibkan zakat. Namun tidak kurang juga yang mengatakan pendapatan atau gaji itu yang diwajibkan zakat hanyalah ke atas baki pendapatan atau gaji yang disimpan. Itupun setelah baki itu cukup haul. Dengan kata lain, baki gaji itu mesti ada dalam simpanan bagi tempoh satu tahun Hijriah.Masing-masing ada alasan tersendiri.
Tetapi hal ini sekarang sudah jauh berbeza. Majlis Agama Islam Negeri melalui Pusat Zakat Negeri atau Majlis Agama Islam sendiri telah mewajibkan zakat ke atas pendapatan atau gaji ini.
Di Kelantan dikenali sebagai zakat penggajian. Penggajian itu meliputi gaji pokok serta lain-lain yang dikira sebagai imbuhan tetap sahaja dan tidak termasuk imbuhan berubah (Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, 1994).
Di negeri Perak pula dikenali sebagai zakat al-Mal al-Mustafad (Jawatankuasa Syariah Negeri Perak, 22 Mac 1990).
Zakat penggajian atau pendapatan ini juga telah mendapat perhatian di Kerajaan Pusat. Misalnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali Ke- 31 pada 9 Disember 1992 dan kemudian Muzakarah (khas) Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah mewajibkan zakat ke atas pendapatan.
Secara lebih khusus, pendapatan ialah perolehan yang diterima merangkumi pendapatan penggajian dan pendapatan bebas. Pendapatan penggajian merupakan ganjaran perkhidmatan seseorang dengan majikan yang meliputi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun dan lain-lain pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.
Pendapatan bebas pula ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran yang merupakan ganjaran daripada perkhidmatannya. Ia meliputi khidmat guaman, khidmat nasihat, perundingan, rawatan perubatan, kejuruteraan, seniman dan lain-lain (JAKIM, 2001).

No comments: