Monday, July 28, 2008

PENGURUSAN DAN PERAKAUNAN ZAKAT DI MALAYSIA

Pengurusan dan perakaunan zakat di Malaysia juga mengalami beberapa pembaharuan. Antara yang terserlah ialah tindakan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah memperkemaskan pengurusan insitusi zakat masing-masing.

Majlis Agama Islam Negeri Kedah misalnya menubuhkan Jabatan Zakat Negeri Kedah Darulaman. Majlis Agama Islam Negeri Selangor menubuhkan Lembaga Zakat Selangor. Terdapat juga MAIN yang mengkorporatkan pengurusan zakat mereka dengan menubuhkan pusat-pusat pungutan zakat. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan misalnya menubuhkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Pahang menubuhkan Pusat Kutipan Zakat Pahang (PZP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menubuhkan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan sebagainya.

Untuk pembaharuan dalam perakaunan zakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) antara lain telah menerbitkan buku panduan zakat tahun 2001. Penerbitan buku panduan zakat ini telah melibatkan pakar-pakar dalam bidang syariah, perakaunan dan golongan profesional.

Perbahasan di dalam buku panduan zakat tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, zakat hanya dikenakan ke atas sesuatu harta. Ia meliputi zakat emas dan perak. Kedua, zakat dikenakan ke atas sesuatu harta dan pendapatan yang diperoleh daripada harta tersebut. Ia meliputi zakat binatang ternakan dan zakat perniagaan. Ketiga, zakat dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diperoleh daripada sesuatu harta. Ia meliputi zakat pertanian, zakat ma’adin, kunuz dan rikaz serta zakat pendapatan sendiri.

Manakala mengikut harta yang diwajibkan zakat pula, ia boleh dibahagikan kepada enam jenis. Pertama ialah emas dan perak; kedua ialah perniagaan; ketiga ialah binatang ternakan; keempat ialah hasil pertanian; kelima ialah wang; keenam ialah ma’adin, kunuz dan rikaz; ketujuh ialah saham; kelapan ialah pendapatan.


No comments: